Bernama Online – Taman Halal Pasir Mas Bakal Tarik Lebih Ramai Pelabur Ke Kelantan

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) — Kelantan dijangka dapat menarik lebih ramai pelabur swasta selepas selesainya pembangunan fasa satu Taman Halal Pasir Mas (PMHP), yang dibangunkan bersama oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Pusat Perniagaan Usahawan yang telah siap di bawah fasa pertama juga dijangka menyediakan lebih banyak peluang bagi pelabur untuk memindahkan operasi mereka ke taman itu, kata ECERDC dalam satu kenyataan hari ini.

Pembangunan fasa kedua PMHP dijangka dimulakan pada Jun 2016.

Dari 2007 sehingga April 2016, ECERDC berkata, nilai pelaburan yang dijanjikan atau diluluskan di Kelantan berjumlah RM12.5 bilion dan telah mewujudkan 13,000 peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.

“Bahagian terbesar pelaburan masih lagi datang daripada sektor pembuatan, diikuti sektor logistik dan pelancongan. Tiga sektor utama ini menyumbang 83 peratus daripada jumlah pelaburan di negeri itu.

“Ketika ini ECERDC bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan kerajaan negeri Kelantan untuk menarik lebih banyak pelabur swasta ke PMHP bagi meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi di negeri itu menerusi peningkatan industri berorientasikan perdagangan dan eksport,” kata majlis itu.

Sementara itu, ECERDC berkata Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) seluas 80.94 hektar di Pasir Puteh merupakan inisiatif strategik untuk menjana aktiviti ekonomi dan meningkatkan permintaan bagi pendaratan ikan di Kelantan.

Taman itu akan meningkatkan potensi eksport makanan diproses termasuk produk berasaskan ikan dan menyokong industri seperti kilang pembuatan ais dan pembaikan kapal perindustrian, dengan penyepaduan ekopelancongan marin dan hospitaliti.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata majlis itu akan terus mempromosikan peluang pelaburan di Kelantan terutamanya menerusi PMHP dan TBIFP.

“Kedua-dua taman ini mempunyai potensi untuk menjadi hab serantau bagi sektor masing-masing — PMHP sebagai hab bagi pembuatan dan pemprosesan produk makanan halal manakala TBIFP boleh berfungsi sebagai hab bagi aktiviti ekonomi berasaskan ikan dan marin,” katanya.

— BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/state_news/bm/news.php?id=1249331