12/3/2010 — Berita Harian
Lebih 70 kanak-kanak daripada keluarga peserta Agropolitan Pekan, Pahang, didedahkan dengan proses pembelajaran secara berkesan selain meningkatkan semangat mereka untuk cemerlang dalam akademik.
Program menerusi ‘Perkhemahan Kanak-Kanak Sinar ECER’ anjuran Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), berlangsung di Sekolah Kebangsaan Runchang, Pahang baru-baru ini.
Selain memperkasa pencapaian akademik, peserta juga dapat meningkatkan kemahiran menguruskan diri, berfikir secara kreatif dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, berkata program berkenaan membabitkan kanak-kanak daripada keluarga miskin tegar di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
“Program ini usaha berterusan kami dalam menyuntik semangat generasi muda untuk terus tekun belajar dan mendidik mereka supaya lebih berdaya saing.
“Seramai 95 kanak-kanak mengikuti program yang membabitkan 70 anak keluarga projek Agropolitan Pekan di Runchang, Pahang dan selebihnya anak peserta Agropolitan Kelantan Selatan di Gua Musang, Kelantan.
“Terdapat dua fasa aktiviti dengan fasa pertama menanamkan semangat mengenali dan menghargai diri sendiri serta pengurusan kendiri.
“Fasa kedua memberi penekanan kepada pentingnya meningkatkan prestasi akademik,” katanya.
Sebagai persediaan awal, Jebasingam berkata, pihaknya mengadakan Hari lnteraktif. Pada program berkenaan, peserta diajar cara meningkatkan kemahiran berkomunikasi berkesan.
Selepas sesi suai kenal, beliau berkata, peserta dapat meningkatkan kebolehan berkerja dalam kumpulan menerusi pelbagai aktiviti mencabar.