Cosmopal tambah pelaburan RM500,000

9/24/2009 — Berita Harian
COSMOPAL Sdn Bhd, satu daripada penternak kambing terbesar di Pantai Timur, membuat pelaburan tambahan sebanyak RM500,000 bagi mendirikan kilang pengeluaran baja bio-organik di Taman Kekal Pengeluaran Makanan di Serating, Marang.
Pengarahnya, Zainudin Zakaria, berkata kilang baru di kawasan seluas 600 meter persegi itu mampu mengeluarkan 200 tan baja bio-organik sebulan, manakala keupayaan akan ditingkatkan kepada 300 tan sebulan hujung tahun ini.
“Kira-kira 80 peratus baja kami diedarkan kepada petani Terengganu dan baki akan diedarkan ke Lembah Klang.
“Ia adalah sebahagian daripada kepelbagaian kami dalam aktiviti harian, selain menternak kambing dan mengeluarkan kulit kambing,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, selain mesra alam, baja bio-organik lebih murah berbanding baja kimia, selain menambah khasiat tanah.
“Kesedaran menggunakan baja organik sudah menular luas pada peringkat antarabangsa selaras peningkatan permintaan terhadap produk organik. Justeru, permintaan untuk baja bio-organik turut meningkat,” katanya.
Menurut laporan Agensi Perdagangan dan Pembangunan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unctad), permintaan dunia terhadap makanan organik dijangka meningkat 46 peratus dalam tempoh lima tahun sehingga 2012.
Jualan dunia daripada produk organik yang disahkan, dijangka mencecah AS$67 bilion, meningkat daripada AS$46 bilion pada 2007.
Cosmopal, anak syarikat Arus Zaman Sdn Bhd, mensasar pendapatan RM1.5 juta tahun ini. Purata pendapatan tahunannya ialah RM 1 juta.
Baru-baru ini, syarikat itu mengumumkan cadangan melabur RM3 juta tahun ini untuk menjadikan ladang mereka di Serting, salah satu ladang pembiakan kambing terbesar negara.
Cosmopal mula beroperasi pada 2005 di kawasan seluas 20 hektar di Serating dan mendapat kelulusan kerajaan negeri untuk meluaskan ladangnya dengan 20 hektar lagi.
Ini akan meningkatkan jumlah kambing yang diternak sebanyak 4,000 ekor pada masa depan.
Di bawah pelan induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Terengganu dikenal pasti sebagai kawasan menternak kambing dan hab pertanian penting untuk keselamatan makanan nasional, mengurangkan pergantungan kepada import dan mewujudkan aktiviti hiliran.