Dua pusat pemprosesan ikan baru di ECER

Oleh Nor Liza Ahmad
WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan memperoleh dua pusat pemprosesan
ikan yang baru iaitu di Kuala Besar, Kelantan dan Kuala Besut, Terengganu, bagi
meningkatkan pendapatan golongan nelayan.
Pusat berkenaan yang dikendalikan Lembaga kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan
memberi tumpuan terhadap kegiatan perikanan hiliran, termasuk memproses dan
mengeluarkan produk makanan berasaskan ikan. Pusat pemprosesan itu juga akan
memantau kaedah pemprosesan, kualiti, standard, pembungkusan makanan serta
jenama, bagi menembusi pasaran baru
Ia akan bertindak sebagai pusat akreditasi bagi Amalan Pengilangan Baik (GMP),
halal dan pensijilan Analisis Titik Berbahaya dan Kawalan Kritikal (HACCP).
Pusat di Kuala Besar akan memberi tumpuan terhadap serunding ikan, keropok ikan
bilis dan produk berasaskan ikan, manakala Kuala Besut bakal menjadi pusat keropok
lekor dan isi ikan cincang (otoshimi).
Sebelum ini, proses hiliran ikan di ECER adalah terhad, dengan hampir 78 peratus
tangkapan dijual segar, kebanyakannya ke pasaran luar. Pendapatan menerusi tambah
nilai yang diperoleh sangat kecil meskipun Pantai Timur adalah antara pengeluar
terbesar ikan.
Ketua Pengarah LKIM, Mustafa Ahmad dalam kenyataan itu, berkata LKIM diberi
tanggungjawab mengurus dan memantau 13 kompleks pendaratan ikan di ECER iaitu
tiga di Kelantan, empat di Pahang dan enam di Terengganu menjadikan jumlah kapasiti
138,000 tan.
“Ini dijangka meningkat sebanyak 38,000 tan dengan siapnya pusat pendaratan ikan
Tok Bali,” katanya.
Mustafa berkata, kompleks pendaratan ikan adalah sebahagian daripada pendekatan
pelbagai langkah LKIM.
“LKIM juga menggalakkan dan meningkatkan penggunaan kotak ikan berpenebat
untuk pasaran domestik dan eksport bagi memastikan kesegaran dan kebersihan ikan
dalam memenuhi piawaian antarabangsa yang ketat,” katanya.