WILAYAH Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan mewujudkan dua pusat pemprosesan ikan
yang berpusat di Kuala Besar, Kelantan dan Kuala Besut, Terengganu bagi
meningkatkan sumber pendapatan nelayan di wilayah berkenaan.
Pusat itu akan dikendalikan di bawah pengawasan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
(LKIM) yang kebanyakannya bertumpu kepada aktiviti perikanan hiliran membabitkan
produk berasaskan ikan.
Pengarah Besar LKIM, Mustafa Ahmad, berkata pusat itu juga akan mengawasi kaedah
pemprosesan makanan, penyelarasan kualiti, pembungkusan, persembahan produk dan
penjenamaan bagi membolehkannya meneroka pasaran baru.
“Kuala Besar akan menumpukan kepada produk hiliran seperti serunding ikan dan ikan
bilis manakala Kuala Besut memfokuskan kepada produk keropok lekor.
“Sebelum ini, aktiviti perniagaan hiliran produk perikanan sangat terhad walaupun
wilayah berkenaan terkenal sebagai antara pengeluar terbesar dalam industri terbabit,”
katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam.
— Harian Metro