ECER Akan Punya Penempatan Nelayan

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) — Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan membina
penempatan nelayan baru seluas 10 hektar dengan 300 rumah sebagai sebahagian daripada inisiatif
Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Penempatan itu akan memperbaiki kehidupan nelayan dan keluarga mereka. Daripada jumlah itu,
200 buah rumah akan dibiayai Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah manakala
selebihnya akan dibiayai oleh Dana Nelayan,” kata Ketua Pengarah LKIM Mustafa Ahmad dalam satu
kenyataan hari ini.
Pelabuhan nelayan laut dalam Tok Bali akan memainkan peranan utama dalam pembangunan
aktiviti berkaitan nelayan di sekitar kawasan ECER.
Pelabuhan itu yang kini memenuhi keperluan sebahagian besar bot nelayan yang beroperasi dalam
Laut Cina Selatan, ia juga dikembangkan ke kawasan tangkapan marin tempatan dan pengeluaran
akuakultur di daratan, kata sekretariat ECER.
Ia juga diperuntukkan dengan kompleks perikanan bersepadu.
Lokasi Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali yang berpotensi sebagai satu hub perikanan akan
mewujudkan sejumlah besar keluaran yang ekonomi yang diperlukan bagi mengoptimumkan harga,
demikian menurut sekretariat itu.
“Ia juga akan mengandungi taman perindustrian pemprosesan ikan yang terletak bersebelahan
kawasan pendaratan,” katanya.
Bagi meningkatkan pendapatan para nelayan, LKIM telah mempelopori konsep perikanan baru, di
mana nelayan tidak perlu ke laut, tetapi boleh melibatkan diri dalam ternakan ikan laut.
“Ini bermakna pelaksanaan akuakultur pada skala komersil. Berikutan perikanan itu, tangkapan
nelayan bertambah dan pendapatan telah meningkat 40 hingga 88 peratus,” kata Mustafa.
“Kepadatan populasi ikan adalah 30 peratus lebih tinggi berbanding di laut lepas. Disebabkan kos
bahan api yang meningkat, ini adalah satu cara membantu nelayan memperoleh kembali modal
mereka dalam tempoh sesingkat mungkin dan di samping itu, memerangi kemiskinan,” katanya.
Sudahpun terdapat 31 kawasan perikanan itu di Pahang, 66 di Terengganu dan 28 di Kelantan.
— BERNAMA