1/13/2010 — Utusan Malaysia
Kadar pengangguran di negeri ini dijangka dikurangkan dengan pelaksanaan beberapa program penempatan pekerjaan dan kemahiran di bawah projek pembangunan insan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, setakat ini, lebih 1,600 penganggur mendaftar untuk mengikuti program Kerjaya ECER.
Katanya, mereka dibantu melalui Program Penempatan Graduan Terengganu dan Program Penempatan Pekerja yang menyediakan pekerjaan di 19 buah syarikat di negeri ini.
”Kedua-dua program itu merupakan antara komponen program Kerjaya ECER bagi menangani masalah pengangguran akibat krisis kewangan dunia,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Pembangunan Modal Insan ECER Peringkat Negeri Terengganu di Primula Beach Hotel di sini hari ini.
Turut hadir di majlis itu, Pengarah Urusan Pakatan Usaha Teknik Sdn. Bhd, Abu Bakar Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
Mengulas lanjut Ahmad berkata, di bawah Program Penempatan Graduan selama dua tahun, para peserta akan diberi latihan di tempat kerja selama sembilan bulan pertama dan menerima gaji minimum RM1,200.
”Mereka berpeluang diserapkan sebagai pekerja tetap pada akhir tempoh dua tahun itu. Sehingga kini, sebanyak 304 orang telah mendaftar untuk mengikuti program ini,” ujarnya.
Di bawah Program Penempatan Pekerja pula katanya, syarikat-syarikat di negeri ini dibantu untuk mencari pekerja tetap dan sambilan dari kalangan pekerja yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini.
”Setakat ini, 448 orang telah mendaftar untuk mengikuti program ini,” tambahnya.
Beliau berkata, satu lagi komponen di bawah Kerjaya ECER adalah Program Latihan Kemahiran untuk graduan dan pelajar lepasan sekolah.
”Sehingga kini, seramai 909 orang telah mendaftar untuk mengikuti pelbagai program latihan kemahiran dalam bidang mekanikal, elektronik dan komputer dan pelancongan serta kursus berteknologi tinggi termasuk robotik dan automasi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, enam projek pembangunan impak tinggi baru di bawah ECER akan mula dilaksanakan di negeri ini, tahun ini.
”Ia adalah pembangunan Pelabuhan Kemaman, International Digital Business Exchange (IDBX), Pusat Animasi Global, kerja kawalan hakisan di Pantai Teluk Lipat, Dungun serta program pembangunan Industri Kraftangan Terengganu dan Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC),” katanya