Enam Lagi Projek ECER Dilaksana Di Terengganu Tahun Ini

1/13/2010 — BERNAMA
Sebanyak enam lagi projek baharu yang dirancang menerusi program pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan dilaksanakan di Terengganu tahun ini.
Menurut Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, dalam Rancangan Malaysia Kesembilan, sebanyak 38 projek telah diluluskan untuk dilaksanakan di Terengganu, termasuk 14 projek merentasi sempadan melibatkan negeri-negeri ECER lain (Kelantan dan Pahang).
“Daripada jumlah tersebut, 17 projek telah dilaksanakan pada 2008, 15 projek pada tahun lepas, manakala enam lagi projek akan dilaksanakan tahun ini.
“Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan pelaksanaan dan perkembangan kesemua projek tersebut yang kini giat dilakukan oleh Majlis Pembangunan ECER,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksana dan Penyelarasan (ICC) Majlis Pembangunan ECER negeri dan majlis pelancaran Kerjaya Program Pembangunan Modal Insan ECER, di sini pada Selasa.
Majlis itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) Datuk Jebasingam Issace John dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mokhtar Nong.
Katanya enam projek terbabit ialah program pelancongan di Teluk Bidara, Dungun dan Pulau Besar, Setiu, melibatkan projek pembangunan hotel dan chalet berkualiti tinggi serta program inap desa di kawasan kampung nelayan tradisonal yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf rumah yang terlibat.
Selain itu, katanya projek kelompok kambing dan daging kambing juga akan dilaksanakan dalam usaha untuk menjadikan negeri ini sebagai pusat pengeluaran kambing dan daging terbesar di negeri ini di kawasan seluas 160 hektar di Ulu Tersat, Kuala Berang.
“Projek pembangunan Taman Industri Berat yang melibatkan zon bebas di pelabuhan Kemaman juga akan dilaksanakan tahun ini bagi membolehkan Terengganu mengambil peluang daripada aktiviti utama dalam perdagangan, logistik, perikanan, industri minyak, gas dan petrokimia,” katanya.
Menurutnya pada pertengahan tahun ini pula projek Agropolitan Besut-Setiu yang melibatkan penamaman ladang jagung cili, kenaf dan penternakan ikan keli dilaksanakan, dalam usaha untuk membantu 3,000 rakyat miskin di kawasan itu.
“Projek ini dijangka akan mewujudkan 452 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, dan tahun ini juga kita akan melakukan program pemulihan Pantai Teluk Lipat Dungun,” katanya.
Ahmad berkata yang lebih mengembirakan ialah apabila program pembangunan yang dirancang itu turut disokong oleh Program Pembangunan Modal Insan dengan melibatkan tiga program utama iaitu Program Penempatan Graduan, Program Penempatan Pekerja dan Program Latihan Kemahiran.
“Saya percaya pelaksanaan program pembangunan modal insan ini bukan sahaja dapat membantu mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini, malah menyediakan sumber tenaga kerja yang mahir dan separa mahir mencukupi bagi keperluan industri tempatan,” katanya.
Katanya ECER menyasarkan menempatkan 1,350 pekerja dalam program ini, dan sejak Program Penempatan Graduan bermula Oktober lepas, seramai 304 peserta telah mendaftar untuk mengikuti program itu di 18 syarikat terpilih.
Graduan yang terpilih katanya, akan diambil bekerja selama sekurang-kurangnya dua tahun, dan sepanjang tempoh sembilan bulan pertama, mereka akan diberikan pendedahan latihan di tempat kerja serta dibayar gaji minimum bulanan sebanyak RM1,200 sumbangan ECERDC dan syarikat terlibat.
“Bagi Program Penempatan Pekerja pula, ECERDC membantu syarikat di Terengganu untuk mencari pekerja tetap dan sambilan dari kalangan pekerja yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi baru-baru ini dan setakat ini seramai 448 sudahpun mendaftar untuk program tersebut,” katanya.
“Selain itu, ECERDC juga telah mengendalikan Program Latihan Kemahiran sejak September lepas untuk graduan serta lepasan sekolah di 13 pusat latihan kemahiran dengan menyediakan 74 kursus bersesuaian mengikut keperluan semasa.
Menurut beliau setakat ini, seramai 909 orang telah mendaftar untuk mengikuti pelbagai program kemahiran dalam bidang mekanikal, elektronik dan komputer, pramusaji dan pelancongan, serta kursus berteknologi tinggi seperti robotik.