ECER mesti berubah ikut tindak balas strategik

8/5/2009 — Utusan Malaysia
Dalam meneruskan usaha membasmi kemiskinan, menambah pendapatan, peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup rakyat, matlamat kerajaan cukup jelas melalui pelbagai projek pembangunan ekonomi yang dirancang.
Hal ini dapat dilihat melalui pelancaran Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) iaitu yang pertama di Malaysia dan Projek Agropolitan Pekan.
Barangkali ada pihak yang mempersoalkan projek baru dalam koridor pembangunan ekonomi di Pantai Timur ini. Mereka mahu jalankan dahulu projek ECER yang sedia ada.
Hakikatnya sesetengah projek ECER perlu dinilai dan diubah suai semula mengikut peredaran masa.
Keadaan ekonomi global yang tidak menentu dan persaingan yang kian sengit, memerlukan tindak balas strategik ke arah mempertingkatkan daya saing Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
ECER SEZ yang dilancar oleh Datuk Seri Najib Tun Razak semalam adalah jawapannya dan ia selaras dengan Model Baru Ekonomi yang dirangka oleh kerajaan.
Kita yakin pengubahsuaian itu tidak akan menjejaskan pembangunan kerana ia sentiasa merujuk kepada dasar rancangan kerajaan untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat.
Perlu difahami bahawa setiap pelan pembangunan tiada yang bersifat mutlak dan muktamad kerana kadangkala ia perlu dikaji dari semasa ke semasa jika timbul perkara baru.
Kawasan pembangunan strategik ECER SEZ seluas 3,875 km persegi meliputi bandar Kerteh, Terengganu di utara dan Pekan, Pahang di selatan termasuk Tanjung Agas dan Gambang di barat akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi berlandaskan ilmu dan sektor perkhidmatan yang bernilai tambah.
Sebagaimana diumumkan oleh Perdana Menteri, ECER SEZ dijangka mewujudkan lebih 220,000 peluang pekerjaan baharu dan menarik RM90 bilion pelaburan langsung domestik dan antarabangsa menjelang 2020.
Koridor pembangunan itu merapatkan jurang antara Pantai Timur dengan wilayah dan negeri-negeri lain dengan menumpukan kepada sektor minyak dan gas, pertanian serta pelancongan sebagai pemacu ekonomi ECER.
Walaupun berkeluasan fizikal hanya enam peratus daripada keluasan keseluruhan ECER, zon ini mempunyai impak ekonomi yang amat besar, termasuk keupayaan menyumbang kepada 50 peratus daripada peluang pekerjaan berbanding seluruh ECER serta menyumbang kepada 80 peratus daripada hasil keluaran ekonomi untuk keseluruhan ECER.
Sungguhpun begitu, perlu dijelaskan bahawa projek dan program ECER di luar lingkungan SEZ tetap diteruskan sebagai mana dirancang. Ini bermakna rakyat yang berada di luar lingkungan ECER SEZ tetap punya peranan.
Mereka akan berperanan menyokong bagi pembangunan pusat pengumpulan, pemprosesan dan pemasaran produk dari ECER untuk pasaran tempatan dan eksport.
Untuk merangsang pertumbuhan ECER SEZ, kerajaan patut menyediakan insentif yang baru supaya dapat menarik pelaburan dan membolehkannya terus berdaya saing.
Pun begitu, selalu diperingatkan kepada kumpulan pelaksana dasar ini supaya komited dan kurangkan segala bentuk kerenah birokrasi bagi memastikan projek koridor itu dapat digerakkan dengan lebih pantas.