Perdana Menteri jelaskan perbezaan 1Malaysia, Malaysian-Malaysia

8/5/2009 — Utusan Malaysia
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menjelaskan perbezaan antara konsep 1Malaysia dengan gagasan Malaysian-Malaysia yang diperjuangkan oleh sebuah parti pembangkang di negara ini.
Menurut Perdana Menteri, konsep 1Malaysia berpaksikan kepada tiga prinsip utama dan yang paling penting, masyarakat majmuk dianggap sebagai aset negara.
“Apabila kita melihat prinsip utama ini sebagai aset, kita boleh menjana aset ini melalui sumbangan yang besar untuk kepentingan negara,” katanya ketika berucap merasmikan Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZ-ECER) dan Agropolitan Pekan di Kampung Runchang di sini, hari ini.
Najib berkata, konsep 1Malaysia juga tidak lari sama sekali daripada Perlembagaan Negara.
“Jadi tidak betul jika ada pihak yang menyamakan gagasan 1Malaysia dengan Malaysian-Malaysia yang jauh menyimpang dan asasnya tidak berpaksikan Perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata, prinsip ketiga iaitu keadilan sosial kepada semua kaum termasuk Orang Asli dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
“Kita mesti bertindak adil kepada semua kaum dan mereka yang ketinggalan dalam pembangunan selama ini,” katanya.
Dalam hubungan ini, katanya, projek SEZ-ECER membuktikan kesungguhan kerajaan untuk memberi keadilan kepada segenap lapisan rakyat dalam pembangunan ekonomi.
“Apabila kita memperkenalkan pembangunan ala koridor dan projek agropolitan ini, jelas kita telah membetulkan ketidakadilan kepada mereka yang jauh ketinggalan dalam arus pembangunan negara selama ini,” jelasnya.