ECER Rangsang Sektor Hartanah

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — Pembangunan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECER) akan membawa kesan positif kepada pembangunan dan harga hartanah,
khususnya pembangunan kawasan-kawasan perusahaan, kata pakar industri.
Memetik kata-kata pengarah penyelidikan Henry Butcher Malaysia, Fahariah Abdul
Wahab, satu kenyataan daripada Urusetia ECER berkata ECER juga dilancarkan pada
masa yang tepat untuk mengambil kesempatan daripada potensi pelancongan yang baik
dan prospek bagi pembinaan hotel dan resort baru dalam wilayah itu.
“Ada banyak peserta industri yang berminat untuk melabur dalam hotel di wilayah itu.
Saya percaya sebelum melabur mereka akan mengkaji harga tanah dan daya maju,
kerana dari segi hotel, wilayah itu masih kekurangan hotel berkualiti di tanah besar yang
nmemerlukan hotel-hotel bertaraf lima dan enam bintang untuk menarik pelancong
asing dan pelancong perniagaan.
“Ini merupakan program jangka panjang dan kesan yang lebih besar adalah ke atas
pembangunan perusahaan dari segi bangunan dan tanah untuk perindustrian. Pada
asasnya, ia akan memberi manfaat kepada banyak projek di situ,” kata Fahariah.
Memetik satu lagi sumber harta, kenyataan itu berkata Kuantan juga boleh menyediakan
150,000 meter persegi ruang niaga runcit, Kota Bharu 110,000 meter persegi dan Kuala
Terengganu 135,000 meter persegi.
— Bernama Wire Service