1/22/2013 — Utusan Malaysia
BENTONG 21 Jan. – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya mengadakan pelbagai program pendidikan di sini bagi membimbing para pelajar yang lemah dalam pelajaran mencapai keputusan cemerlang.
Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kejayaan itu membuktikan kemampuan agensi tersebut membangunkan modal insan dalam kalangan pelajar yang dikategorikan sederhana dan lemah.
”Selain kejayaan akademik, Program Empower juga berjaya membimbing penduduk miskin dalam bidang usahawan serta kemahiran seperti jahitan, masakan, pastri, membaiki barangan elektronik, telefon bimbit dan sebagainya.
”Lebih 80 peratus penduduk yang mengikuti kursus Empower berjaya menjadi usahawan kecil-kecilan dan mendapat pekerjaan sehingga mampu meraih pendapatan antara RM1,600 hingga RM3,800 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil kecemerlangan kepada 353 pelajar sekolah yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di sini semalam.
Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan memberitahu, kehadiran pelabur asing ke negeri ini akan melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam sektor industri tertentu.
Jelasnya, langkah itu secara tidak langsung akan menyemarakkan lagi pertumbuhan terutama sektor industri kecil dan sederhana sekali gus melahirkan usahawan dalam kalangan penduduk tempatan.
”Banyak peluang pekerjaan akan dinikmati oleh penduduk negeri ini khususnya di Pahang Barat seperti Bentong, Raub dan Kuala Lipis hasil daripada perancangan kerajaan untuk melihat kehidupan rakyat lebih terjamin,” katanya.