Pahang eksport nanas ke Dubai

1/24/2013 — Utusan Malaysia

JERANTUT 23 Jan. – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri akan mengeksport nanas varieti N36 ke pasaran Dubai dengan kuantiti 400,000 biji setahun.
Pengarahnya, Ibrahim Mahmood berkata, nanas tersebut sesuai untuk pasaran eksport kerana enak dimakan dan lebih manis berbanding nanas biasa hasil kacukan nanas Morris dan Sarawak.
Katanya, negeri ini mempunyai tanah gambut yang sesuai untuk tanaman nanas N36 yang kini sedang giat diusahakan di kawasan Sungai Miang, Pekan, Gambang, Kuantan dan Rompin membabitkan kawasan seluas 150 hektar.
“Bagi memastikan bekalan yang mencukupi untuk keperluan eksport, FAMA negeri bekerjasama dengan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi memajukan tanah seluas 600 hektar di Rompin.
“Petani yang akan memajukan kawasan ini terdiri daripada para peserta ECERDC termasuk 100 Orang Asli yang turut dipilih menyertai projek tanaman nanas N36 menerusi program ladang kontrak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam majlis mempromosikan nanas N36 untuk pasaran tempatan di Pasar Tani Kekal Jerantut, di sini kelmarin.
Menurutnya, FAMA akan membina pusat pengumpulan bagi membantu dan memberikan sokongan kepada para petani yang menyertai tanaman nanas N36.
“Tanah gambut yang terdapat di Kuantan, Pekan dan Rompin cukup sesuai dimajukan dengan tanaman nanas N36 dan dengan adanya tanaman nanas ini dapat mengurangkan risiko kebakaran di kawasan tanah gambut pada musim panas yang sering berlaku sebelum ini.

“Nanas N36 mempunyai potensi besar kerana selain lebih manis dapat berfungsi mencuci usus serta kurang rasa gatal pada tekak semasa dimakan segar,” jelasnya.