ECERDC Kuantan mulakan operasi, pejabat jadi pusat sehenti pelaburan di Pahang

2/23/2009 — Berita Harian
PEJABAT Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Kuantan, Pahang yang mula beroperasi semalam menjadi nadi penggerak pembangunan serta pusat sehenti kepada syarikat yang berminat melabur di negeri itu.
Ketua Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, berkata bangunan tiga tingkat di Sri Kuantan Square, Jalan Teluk Sisek itu juga bakal menonjolkan lagi kehadiran ECER di Pahang.
Katanya, ia mengeratkan sokongan serta kerjasama antara ECERDC, kerajaan negeri serta agensi dan jabatan kerajaan berkaitan.
“Pejabat ECERDC di Kuantan adalah yang pertama beroperasi berbanding tiga negeri lain iaitu Terengganu, Kelantan dan Johor.
“Ia juga membantu, menyelaras, memantau serta melaksana projek ECER di Pahang sambil menyediakan bantuan kepada pelabur, pengusaha serta mewujudkan kesedaran meluas kepada penduduk,” katanya pada majlis perasmian pejabat ECERDC oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, semalam.
Jebasingam berkata, ECERDC sentiasa sedia berdepan persaingan sengit untuk menarik pelabur terutama pelabur asing dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu ketika ini.
“Di samping Pakej Insentif Khas ECER yang diluluskan kerajaan, program untuk mempromosi wilayah ekonomi juga diperhebatkan,” katanya..
Mengenai status projek ECER di Pahang, beliau berkata, 18 daripada 32 projek yang dirancang pembangunannya di negeri ini akan dilaksanakan tahun ini selepas 24 projek dimulakan tahun lalu.
“Felda juga melabur dalam ladang feedlot, hab pemasaran dan pusat penyembelihan yang akan memberi galakan kepada ternakan lembu dan daging ECER, manakala pembinaan Pusat Nukleus Lembu di Muadzam Shah dan Jerantut dijangka siap sebelum hujung tahun ini,” katanya.
Jebasingam berkata, pelan induk pembangunan Pelabuhan Kuantan yang akan menjadi hab logistik dan industri dalam ECER dijangka siap Mei ini.
“Kemudahan pelabuhan akan dinaikkan taraf sejajar matlamat menjadikannya sebagai terminal bersepadu dan hab logistik untuk pasaran petrokimia, minyak sawit, automotif, pergudangan serta zon perindustrian dan pembuatan.
“Fasa pertama pembinaan tembok penahan ombak pelabuhan ini akan bermula hujung tahun ini,” katanya.