Tabung Amanah Majukan Tanah Rizab Melayu Di Pahang

2/23/2009 — BERNAMA
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Negeri Pahang menubuhkan Tabung Amanah Hartanah bagi membangunkan tanah rizab Melayu di negeri itu.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, bagi penubuhan tabung itu, kerajaan negeri memohon dana sebanyak RM200 juta daripada kerajaan Persekutuan bagi memajukan 840 hektar tanah rizab Melayu di negeri itu.
Penubuhan tabung amanah itu merupakan satu daripada empat perkara yang dibincang dan dipersetujui oleh Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) majlis itu yang bermesyuarat hari ini dengan dipengerusikan oleh Menteri Besar.
“Kita kena ambil kira tanah rizab Melayu kerana pihak bank biasanya bagi 50 hingga 60 peratus daripada jumlah pinjaman.
“Saya wujudkan mekanisme bangunkan tanah rizab Melayu supaya dapat pulangan yang optimum termasuk mewujudkan mekanisme kerjasama dengan swasta tanpa membatalkan status tanah rizab Melayu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat ECERDC Pahang dan mempengerusikan mesyuarat ICC di sini, Isnin.
Mengulas lanjut, Adnan berkata kemudahan yang diberi oleh bank adalah rendah.
“Biasanya pihak bank tidak memberikan penilaian yang sama kepada tanah rizab Melayu atas alasan tanah ini hanya boleh dijual beli di kalangan orang Melayu dan sebab tu menyebabkan pihak bank tidak memberikan nilai yang tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Adnan berkata, penubuhan ICC adalah bagi memastikan pelaksanaan semua projek yang dirancang di negeri Pahang dan sempadan negeri berjalan lancar.
“Sebagai Pengerusi ICC, saya berharap penubuhan jawatankuasa ini akan membantu mempercepatkan lagi pelaksanaan projek-projek ECER di negeri Pahang,” katanya.
Menurut Adnan, sebanyak 32 projek dirancang untuk dilaksanakan di negeri Pahang manakala 13 projek merentasi sempadan akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan.
“Perkembangan positif dapat dilihat dengan pelaksanaan di peringkat awal iaitu 24 projek telah dimulakan tahun lepas, 11 projek akan dimulakan pertengahan tahun ini, tujuh projek lagi dijangka dimulakan sebelum akhir tahun manakala tiga projek akan dijalankan tahun depan,” kata beliau.