ECERDC Meterai Perjanjian Program Ternak Kambing

6/14/2010 — BERNAMA
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memeterai perjanjian kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) untuk bersama-sama membangunkan program penternakan kambing di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata objektif utama program itu ialah untuk mewujudkan pengeluaran kambing secara sistematik serta mampan dari segi ekonomi dan juga untuk membantu meningkatkan pendapatan penternak.
“Menerusi kerjasama ini, satu industri pembangunan komersil kambing di ECER akan dipercepatkan menerusi satu pendekatan berintegrasi yang merangkumi aktiviti huluan dan hiliran, dan juga sebagai pelengkap industri halal berasaskan makanan di wilayah itu,” kata Jebasingam.
“Pada masa yang sama, projek ini juga akan memainkan peranan utama dalam pembangunan modal insan bagi para peladang ternak dan mereka yang mempunyai kepentingan dalam industri dalam ECER,” kata beliau dalam satu kenyataan hari Isnin.
Pemeteraian perjanjian itu, yang termasuk satu perjanjian komersil dengan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC), disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.
Di bawah perjanjian itu ECERDC akan menyediakan infrastruktur yang diperlukan bagi Pembiakan Kambing Kuala Berang dan Pusat Inovasi di Ulu Tersat sementara Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan menyediakan kepakaran veterinari dan MARDI akan menjalankan dan melaksanakan kesemua aktiviti pembiakan dan penyelidikan pembangunan.
Jebasingam berkata di bawah perjanjian itu, TADC akan mengendalikan ladang itu secara komersil di Pembiakan Kambing Kuala Berang dan Pusat Inovasi.
“Pembinaan pusat itu dijadualkan bermula pada Ogos tahun ini, dan dijangka siap menjelang 2012,” kata beliau.
“Kami menetapkan sasaran pengeluaran 12,620 kambing Boer dalam tempoh lima tahun, dan sebagai permulaan, ECERDC akan menyediakan 530 kambing pembiak baka asli kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang akan menyerahkan baka-baka itu kepada TADC bagi tujuan pembiakan dan 1,590 kambing lagi bagi ladang komersil itu,” katanya.
Jebasingam berkata Projek Penternakan Kambing ECER itu telah dikenal pasti sebagai salah satu inisiatif di bawah Pelan Induk ECER untuk membangunkan industri pengeluaran kambing yang efisen, saksama dan berterusan di wilayah itu.
“Projek ini telah pun menarik beberapa pelabur asing yang berminat untuk memenuhi keperluan jaminan makanan negara masing-masing.
Sub-kluster kambing ECER juga dberkait rapat dengan industri halal wilayah itu, kerana ia menyediakan input bagi hab-hab halal dalam ECER,” kata beliau.
Jebasingam optimis bahawa dalam tempoh lima tahun, ECERDC akan membangunkan 35 ladang dengan gabungan jumlah kambing sebanyak 36,000 ekor yang akan menghasilkan 216 tan metrik daging kambing.