Projek Pembinaan Jambatan Bukit Kuang Telah Diluluskan

6/14/2010 — BERNAMA
Kementerian Kewangan telah meluluskan pembinaan Jambatan Bukit Kuang, Kemaman yang melibatkan peruntukan RM200 juta, demikian menurut Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said.
Beliau berkata, jambatan baru yang akan dibina di bawah program ECER itu mempunyai empat lorong setinggi 15 meter telah diluluskan beberapa hari lepas untuk diserahkan kepada kontraktor untuk membinanya.
“Penubuhan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) adalah untuk mempercepatkan proses pembangunan wilayah itu dan pembinaan jambatan itu merupakan satu di antara proses pembangunan yang dirancang di Terengganu.
“Di samping itu kita ada beberapa projek lain seperti pertanian dan penternakan di mana projek ternakan kambing di dua kawasan di daerah Hulu Terengganu dan Setiu merupakan projek pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian Kerjasama Penternakan Kambing ECER antara Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Mardi dan perjanjian Komersil Penternakan Kambing antara ECERDC, JPV dan Terengganu Agrotach Development Corporation (TADC).
Pada perjanjian itu JPV diwakili Ketua Seksyen Pedaging Jabatan Perkhidmatan Veterinar Dr Muhammad Safaruddin Md Dawon, Mardi diwakili Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Teknologi dan Pengkomersilan, TADC diwakili Pengurus Besarnya Mohd Rosli Harun manakala ECERDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Jebasingam Issace John (ulang: Jebasingam Issace John) dengan disaksikan Ahmad.
Ahmad berkata, pembinaan pusat pembiakan dan inovasi kambing Hulu Tersat bermula Ogos ini dan ia dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang.
Katanya, menjelang tahun 2015 kerajaan mensasarkan untuk menghasilkan 35 buah ladang kambing yang boleh mengeluarkan lebih 36,000 ekor kambing.
“Kita juga berharap apabila projek itu berjalan nanti, dapat mengeluarkan 216 tan daging kambing setahun dengan menjadikan Terengganu sebagai pengeluar terbesar daging kambing di negara ini menjelang 2015,” katanya.
Ahmad berkata projek ternakan kambing di Telaga Papan itu melibatkan 100 peserta yang terdiri daripada petani dan nelayan miskin dengan pendapatan sebanyak RM1,000 sebulan.
“ECERCD akan menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada peserta. Apabila ladang berkenaan mengeluarkan hasil dalam tempoh tiga tahun, pendapatan mereka akan meningkat kepada sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan.