12/1/2009 — Berita Harian
MAJLIS Pembangunan ECER (ECERDC) menyasarkan memperoleh pe-laburan bernilai RM30 bilion dari Asia Barat tahun depan dalam sektor pertanian, pengeluaran makanan, pelancongan dan pendidikan.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Jebasingam Issace John, berkata majlis itu akan menganjurkan misi khusus ke negara anggota Majlis Kerjasama Teluk pada Mac 2010 bagi menarik pelaburan tambahan untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Banyak perkara yang kita boleh kongsi (dengan pelabur Asia Barat) di Pantai Timur. Antara pantai menarik di negara ini terletak di Terengganu dan Pahang, justeru, kami akan dapatkan mereka untuk melihat kelompok pelancongan kita.
“Selain itu, ada industri pertanian, pengeluaran makanan dan industri halal, Ia adalah antara bidang yang kami kenal pasti untuk kerjasama dan pelaburan,” katanya kepada pemberita sempena Forum Perniagaan Arab-Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
Jebasingam berkata, menerusi portfolio pelabur yang bercampur-campur sedia ada, ECERDC boleh menjangkakan menambah pelaburan dari GCC dalam tempoh yang sesuai.
“Banyak perkara yang boleh kita kongsi. Pantai Timur secara asasnya mempunyai tradisi dan budaya Islam,” katanya.
Ditanya sama ada masalah kewangan semasa Dubai akan menjejaskan rantau ini, beliau berkata: “Krisis atau tidak, permintaan untuk makanan dan pertanian terus wujud dan industri halal adalah sektor penting yang diperhatikan dunia ketika ini.”
Beliau bagaimanapun berkata, wilayah ekonomi itu tidak semata-mata memberi tumpuan terhadap Asia Barat, malah turut mensasarkan Asia Pasifik.