Negara GCC jadi sandaran, Sasar pelaburan RM30b

12/1/2009 — Utusan Malaysia
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menyasar untuk memperoleh pelaburan sebanyak RM30 bilion dari kalangan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 2010.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jebasingam Issace John berkata, antara peluang pelaburan yang ditawarkan adalah bagi sektor pertanian, pemprosesan makanan, pelancongan dan pendidikan.
”Kami mahu membina rangkaian pelaburan dengan GCC memandangkan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) menawarkan banyak peluang pelaburan,” katanya ketika ditemui pada Forum Perniagaan Malaysia-Arab anjuran Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) di sini hari ini.
Beliau berkata, ECERDC akan menganjurkan misi perdagangan di negara-negara GCC pada Mac 2010.
GCC membabitkan enam buah negara Teluk iaitu Bahrain, Oman, Kuwait, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Tambahnya, kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara Islam bakal memberi keselesaan kepada GCC untuk menjadikan negara ini sebagai destinasi pelaburan yang ideal.
Beliau menambah, berdasarkan pelaburan sebelum ini, GCC terlibat dalam projek pembuatan produk halal, pelancongan, pertanian dan ternakan, pendidikan serta minyak dan gas.
”Sebagai tambahan, Zon Ekonomi Khas (SEZ) ECER yang menawarkan insentif fiskal dan bukan fiskal akan meningkatkan minat GCC pada masa akan datang,” ujar beliau.
Menurutnya, SEZ berupaya menyegerakan projek yang telah diluluskan dan kemudahan pelaksanaan projek oleh ECERDC dan kerajaan-kerajaan negeri.
SEZ yang berkeluasan 390,000 hektar membabitkan bandar baru, lokasi pelancongan antarabangsa, empat pelabuhan, dua lapangan terbang dan zon inovatif.
Menjelang 2020, SEZ akan memiliki pelaburan ke-15 terbesar di dunia.
Jebasingam berkata, ECER kini menerima pelaburan dari pelbagai negara termasuk Eropah dan menjangka wilayah ekonomi itu bakal menerima kemasukan pelaburan signifikan dari Timur Tengah pada masa depan.
Tambahnya, koridor itu telah menerima pelaburan bernilai RM30 bilion pada 2008 dan 2009.
Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
ainul.ahsan@utusan.com.my