1/12/2013 — Utusan Malaysia
BENTONG 11 Jan. – Seramai 25 murid sekolah rendah di sini menerima sumbangan cermin mata daripada Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) semalam.
Sumbangan cermin mata itu telah disampaikan oleh Ahli Majlis Perbandaran Bentong, Tan Tai Woon yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun.
Yang hadir sama, Pegawai Pendidikan Pencegahan Dadah Daerah Pejabat Pelajaran Bentong, Mohd. Rahimi Abdul Razak selaku wakil Pejabat Pelajaran Daerah Bentong.
Sementara itu, Mohd. Rahimi dalam ucapannya memaklumkan ECERDC secara keseluruhan telah menyumbang cermin mata kepada 120 pelajar sekolah menengah dan rendah yang menghadapi masalah penglihatan melibatkan pelajar dari Pahang, Terengganu dan Kelantan.
Katanya, mereka yang dipilih menerima cermin mata tersebut terdiri daripada pelajar di 76 buah sekolah rendah dan menengah yang telah menjalani pemeriksaan di hospital dan disahkan mengalami masalah penglihatan.
”Ibu bapa perlu mengetahui kesihatan anak-anak mereka terutamanya penyakit yang tidak boleh dikesan pada pandangan mata kasar seperti masalah penglihatan.
”Sebab itu, pemeliharaan mata juga penting kerana boleh menjejaskan pembelajaran pelajar di sekolah kerana masalah rabun jauh atau dekat tidak disedari pelajar, ibu-bapa dan guru,” kata Mohd. Rahimi.
Sementara itu, Tai Woon memberitahu, ibu bapa perlu membawa anak-anak mereka untuk membuat pemeriksaan mata di peringkat sekolah rendah lagi.
”Terdapat banyak kes pelajar terutamanya murid sekolah rendah yang menghadapi masalah mata seperti kabur tetapi tidak disedari ibu bapa masing-masing.
”Pemeriksaan mata amat penting dan terdapat beberapa kes pelajar yang cemerlang semasa di sekolah rendah tetapi akhirnya pelajaran mereka semakin merosot pada peringkat sekolah menengah disebabkan masalah penglihatan,” katanya.