1/5/2013 — Sinar Harian
KUANTAN – Kerajaan negeri menyambut baik kerjasama strategik antara Malaysia dan China dalam pemilihan Pahang sebagai pusat industri halal ke peringkat global.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerjasama antara Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Malaysia dengan Ningxia Light and Textile Bureau (NLTB) China akan melonjakkan lagi peranan dan perkembangan negeri ini yang dipilih sebagai hab halal.
Menurutnya, ini membuktikan kerjasama ini memberi makna besar kepada Pahang berikutan melalui kedatangan pelabur-pelabur negeri ini akan terus membangun terutama Kuantan.
“Kerjasama dijalinkan merupakan lanjutan kepada kerjasama yang diwujudkan antara China dan Malaysia bagi projek Taman Industri Malaysia-China Kuantan (MCKIP), Gebeng sebelum ini
“Skop kerjasama ini juga tidak hanya tertumpu pada industri makanan halal sahaja, malah merangkumi industri tekstil, kosmetik, farmaseutikal dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECERDC dan NLTIB, di sini, semalam.
Adnan berkata, menerusi MoU tersebut, sektor halal bagi produk makanan dan bukan-makanan akan diwujudkan di Taman Halal Gambang dan MCKIP, yang berkeluasan 685 hektar serta boleh beroperasi pada bila-bila masa sesuai.
“Segala prasarana bagi taman tersebut telah tersedia dengan lengkap yang juga sesuai untuk dijadikan pusat kajian dan pembangunan berkaitan industri halal ini,” katanya.
Sementara itu, Adnan berkata, dengan adanya Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini sekali gus dapat membantu dan mengambil bahagian untuk membangunkan Taman Halal Gambang.
“Justeru itu, dalam menghasilkan produk halal sebagai contoh makanan dan bidang farmaseutikal, UMP dapat membantu menghasilkan produk berkualiti memandangkan ia juga merupakan salah satu pusat penyelidikan di Malaysia ini.
“Sebagai contoh pada 2011, nilai eksport produk halal Malaysia berjumlah RM35.4 billion atau 5.1 peratus daripada keseluruhan eksport.
“Jadi melalui kerjasama ini dan penglibatan UMP sekali gus mampu membantu menyumbang kepada peningkatan ekonomi sehingga melebihi daripada 5.1 peratus selepas ini,” katanya.