Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my
KOPERASI Permodalan Kuala Krai Berhad (KPKKB) menandatangani
memorandum penjanjian (MoA) dengan syarikat dari Arab Saudi, Aero Supplies and
Consulting Pt bagi aktiviti pengeksportan ikan patin.
Projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif yang diwujudkan di Wilayah Ekonomi
Pantai Timur (ECER) bagi membangunkan industri akuakultur negara.
Pengerusi KPKKB, Datuk Seri Abu Raihan Wan Jaafar, berkata MoA itu
membabitkan pembelian 20 hingga 40 kontena ikan patin sebulan daripada pihaknya
sekali gus mampu menjana pendapatan antara RM80 hingga RM100 juta setahun.
Beliau berkata, projek perikanan itu sudah dimulakan dengan kerjasama Jabatan
Perikanan Kelantan dan sehingga kini, 140 kolam sudah dikenal pasti untuk
membangunkan projek itu.
“Kami akan melabur antara RM15 hingga 20 juta bagi membangunkan sebuah
kilang memproses ikan patin dalam palet menjelang akhir tahun ini,” katanya dalam
kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam.
Katanya, kerjasama yang diwujudkan itu menawarkan prospek ekonomi lebih baik
selain menjana pendapatan tambahan kepada penduduk di Kuala Krai yang
kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.
Abu Raihan berkata, apabila kilang itu siap kelak, ia akan mewujudkan antara 400
hingga 500 peluang perkerjaan.
Katanya, dengan menjadikan ikan patin sebagai projek komersial pertamanya, tidak
mustahil bagi pihaknya untuk meneroka peluang pasaran lain membabitkan ikan
talapia hitam, udang dan ayam yang semuanya dirancang untuk pasaran eksport.
“Ikan patin mempunyai permintaan yang tinggi di pasaran antarabangsa seperti
Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat,” katanya.
Di pasaran runcit tempatan, ikan patin dijual pada harga RM8 sekilo dan antara RM4
hingga RM5 bagi pasaran borong.
Katanya, pasaran industri akuakultur tempatan berkembang dengan begitu pesat
berdasarkan permintaan yang memberangsangkan daripada pasaran dalam negara
dan eksport.
“Permintaan makanan berasaskan ikan dijangka akan meningkat daripada 1.2 kepada RM1.5 juta tan pada 2010 dan purata perkapita masyarakat Malaysia
mengambil ikan juga akan meningkat dari 49kg kepada 56kg,” katanya.
Sehingga kini, keseluruhan pasaran eksport komoditi industri itu adalah 283,385 tan
bernilai RM2.253 bilion pada tahun 2004 membabitkan beberapa buah negara
seperti Amerika Syarikat, Thailand, Singapura, China dan Indonesia.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9), pembangunan Zon Industri
Akuakultur (ZIA) di Ecer dijangka dapat membangun dan meningkatkan industri
berkenaan di negara ini.