KUALA LUMPUR: Koperasi Permodalan Kuala Krai Bhd (KPKKB) telah
menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoA) dengan Aero Supplies
and Consulting Pt. dari Arab Saudi bagi mengeksport ikan patin.
Projek itu adalah sebahagian daripada usaha Wilayah Ekonomi Pantai Timur
(ECER) untuk meningkatkan industri aquakultur air tawar negara, kata ECER.
MoA itu termasuk pembelian 20-40 kontena ikan patin sebulan dari KPKKB yang
akan menjana pendapatan antara RM80-100 juta setahun.
“Projek pemeliharaan ikan patin itu telah bermula dengan kerjasama Jabatan
Perikanan Kelantan. Sehingga hari ini, 140 kolam telah dikenal pasti untuk
digunakan bagi projek ini,” kata Pengerusi KPKKB, Datuk Seri Abu Raihan Wan
Jaafar.
MoA itu ditandatangani oleh Pengerusi KPKKB, Datuk Seri Abu Raihan Wan Jaafar
dan Pengerusi Aero Supplies and Consulting Pt., Abdul Rahman Ali Al-Khalaf.
“Kami akan melabur RM15-RM20 juta untuk membina sebuah kilang untuk
memproses ikan patin menjadi “pallet” tidak lewat dari akhir tahun ini,” kata Abu
Raihan.
Katanya usaha itu akan menawarkan prospek ekonomi dan menjana pendapatan
tambahan bagi penduduk Kuala Krai yang kebanyakannya penoreh getah.
“Apabila siap kelak, kilang itu akan memerlukan 400-500 pekerja,” katanya.
Abu Raihan berkata KPKKB akan mengusahakan penternakan ikan tilapia hitam,
udang dan ayam secara berperingkat-peringkat bagi pasaran eksport.
Ikan patin mendapat permintaan tinggi dan mempunyai prospek yang tinggi di
pasaran antarabangsa seperti Eropah, Timur Tengah dan Amerika Syarikat.
Di pasaran tempatan, ikan patin berharga RM8 sekilogram dan RM4-RM5
sekilogram bagi pasar borong.
Industri aquakultur air tawar negara ini mempunyai potensi pertumbuhan yang besar
disebabkan pertumbuhan permintaan di pasaran domestik dan eksport.
Permintaan negara bagi mendapatkan makanan berasaskan ikan dijangka
meningkat daripada 1.2 juta tan sekarang ini kepada 1.5 juta tan dalam 2010.
Ini bermakna penggunaan per kapita ikan semasa Malaysia akan meningkat
daripada 49 kilogram kepada 56 kilogram. Malaysia mengeksport sejumlah 283,385 tan komoditi perikanan bernilai RM2.253
bilion dalam 2004, ke negara-negara seperti Amerika Syarikat, Thailand, Singapura,
China, dan Indonesia.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, inisiatif Zon Perindustrian Aquakultur
(AIZ) ECER dijangka membangunkan dan meningkatkan industri akuakultur negara.
Selain itu, konsep AIZ turut mensasarkan untuk meningkatkan pendapatan bersih
peserta aquakultur kepada sekurang-kurangnya RM3,000 (A$875) sebulan. Industri
aquakultur Malaysia bernilai RM1.4 bilion dalam 2007, dengan pengeluaran 213,780
tan ikan.
Pengeluaran aquakultur dijangka meningkat sehingga 600,000 tan menjelang 2010.
Dari jumlah itu, 400,000 tan dijangka dikeluarkan melalui kultur marin (aquakultur
berasaskan air dan darat) manakala 200,000 tan dari industri ikan air tawar. –
Bernama