6/3/2012 — Sinar Harian
RAUB – Seramai 6,000 belia akan diberikan latihan dalam bidang terapi spa yang berkonsepkan ‘Malaysian Style Spa’ di bawah program ‘Empower Raub’ menjelang tahun 2020, kata Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen hari ini.
Beliau berkata latihan kemahiran spa itu dijalankan di bawah projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pelancongan yang memberi tumpuan khas kepada aspek pembangunan modal insan.
“Saya telah mengambil inisiatif khas ini bagi memberi kesedaran kepada belia mengenai bidang kerjaya baru berasaskan kemahiran dan akan ditingkatkan melalui latihan khas tersebut.
“Kesedaran ibu bapa dan guru juga penting bagi menyedarkan belia agar menceburkan diri dalam bidang kerjaya berasaskan kemahiran yang turut berpotensi untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Empower Raub di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Datuk Jebasingam Issace John.
Dr Ng berkata tidak semestinya pelajar yang gagal di dalam peperiksaan tidak berpeluang mendapat pekerjaan dan perlu menganggur kerana tidak layak meneruskan pengajian di institut pengajian tinggi.
“Saya dapati ramai pelajar yang tidak lulus di dalam peperiksaan ini mempunyai kemahiran jadi saya menyeru agar mereka tidak perlu putus asa tetapi mencari maklumat serta inisiatif untuk menceburkan diri di dalam kerjaya kemahiran,” katanya.
Program Empower Raub merupakan salah satu inisiatif pembangunan modal insan kerajaan persekutuan yang dilaksanakan melalui ECERDC.
Ia bagi memastikan penduduk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mendapat manfaat selain mengurangkan jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah dan meningkatkan pendapatan rakyat serta memastikan pengagihan kekayaan sama rata.
Ng yang juga Anggota Parlimen Raub berkata setakat ini seramai 900 penduduk setempat telah mendapat manfaat daripada program itu di mana 400 daripadanya adalah pelajar sekolah yang sedang mengikuti Latihan Kemahiran Akademik manakala selebihnya adalah golongan belia mengikuti Latihan Kemahiran Keusahawanan.
Beliau sebelum itu telah menyartai acara Cuti-Cuti 1Malaysia Sunday Bike Ride@Raub. Seramai 400 peserta menyertai acara itu yang bermula dari Taman Tasik Raub melalui 10 laluan sejauh 15km. — Bernama