Malaysia akan miliki kompleks penapis bio terbesar Asia, 2014

6/13/2012 — Sinar Harian

KUALA TERENGGANU – Malaysia akan memiliki kompleks penapis bio terbesar Asia menjelang 2014 menerusi kerjasama strategik antara kerajaan negeri Terengganu, Malaysian Biotechnology Corp Sdn Bhd (BiotechCorp) dan Majlis Pembangunan wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Kompleks bernilai RM170 juta itu yang dibangunkan oleh ECERDC, terletak di Kertih Biopolymer Park, Terengganu dan dijadual memulakan pembinaan Ogos ini serta dijangka memulakan operasi awal 2014.

“Ini merupakan projek mercu tanda utama dan yang pertama di Malaysia menggunakan bahan mentah cellulosic untuk menghasilkan bioderivatif seperti karbohidrat, biokimia, biomaterial, biobaja dan ramuan makanan haiwan yang aktif,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BiotechCorp Datuk Mohd Nazlee Kamal.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis permeterian bagi projek tersebut yang disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di sini, hari ini.
“Projek itu dijangka menjana pendapatan negara kasar terkumpul RM20.4 bilion menjelang 2020 dan menyediakan 2,500 peluang pekerjaan baharu bagi Malaysia, dengan pengeluaran 800,000 tan metrik bioderivatif setahun,” katanya.
Beliau berkata dengan jangkaan pelaburan langsung asing (FDI) RM6.8 bilion, kompleks seluas 1,000 hektar itu dijangka dihuni oleh lapan peserta
bioteknologi perindustrian global pada 2015.
Mohd Nazlee juga berkata bagi memastikan operasi hiliran tanpa gangguan, tanah seluas 30,000 hektar telah diperuntukkan bagi perladangan bahan mentah yang akan menghasilkan 10.5 juta tan cip kayu setahun daripada pokok akasia dan Leucaena leucocephala atau dikenali tempatan sebagai “Petai Belalang”.
Beliau berkata BiotechCorp, bersama dengan ECERDC giat menarik beberapa peserta bioteknologi industri global terutamanya dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun untuk menubuhkan kemudahan pembuatan kimia berasaskan bio mereka di Kertih Biopolymer Park.
“Kerjasama ini membuktikan bahawa ECER kekal sebagai destinasi menarik bagi pelaburan di kalangan pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya.
CEO ECERDC Datuk Jebasingam Issace John berkata setakat ini, organisasi itu dan BiotechCorp berjaya memperoleh pelaburan RM2 bilion daripada usaha sama antara CJ CheilJedang dari Korea dan Arkema dari Perancis untuk membangunkan kemudahan bio-methionine pertama dunia di Kertih Biopolymer Park.
“Menerusi pelaburan baharu ini, ECER kini memperoleh pelaburan bernilai lebih RM10 bilion,” katanya.
Beliau berkata ECERDC dijangka menyaksikan pelaburan bernilai RM15 bilion tahun ini.
Daripada pelaburan RM10 bilion, RM2.1 bilion adalah dari Pahang, RM5 bilion dari Johor dan RM500 juta dari Kelantan, dengan yang selebihnya dari Terengganu.
“Kami telahpun memperoleh pelaburan baharu di taman itu bernilai RM2.5 bilion yang akan dimulakan dalam tempoh setahun dua lagi, dan butir-butir terperinci akan diumumkan tidak lama lagi.
“Kami menyasar memperoleh pelaburan RM7 bilion bagi taman ini pada akhir tahun,” kata Jebasingam.
Penapis bio itu merupakan kilang pemprosesan keseluruhan yang menyepadukan teknologi yang perlu bagi menukar dan mengekstrak bahan mentah biomas menjadi spektrum produk bernilai dan memaksimumkan nilai yang dihasilkan daripada itu.
Industri itu yang akan mewujudkan peralihan daripada bahan api fosil konvensional kepada pengeluaran berasaskan bio yang lebih lestari, dijangka menjana pendapatan kira-kira RM1 trilion dan menghasilkan 800,000 peluang pekerja di seluruh dunia menjelang 2030. -Bernama