Sertai pelbagai latihan kursus

6/15/2011 — Sinar Harian – Pahang

KUALA LIPIS – Penduduk daerah ini disaran menyertai kelas tuisyen kursus dan pelbagai latihan percuma yang dilaksanakan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di bawah program Empower.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman berkata, pelbagai latihan kemahiran dan kursus jangka pendek diadakan di bawah program itu yang boleh menjana pendapatan penduduk.

Menurutnya, selain kursus jahitan, masakan, solekan, membaiki telefon bimbit dan komputer terdapat pelbagai kursus serta latihan lain turut diadakan secara percuma dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Kemajuan sosial Malaysia (PKSM).

“Kursus dan latihan yang menggunakan tenaga pengajar PKSM ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin kerana jika mereka mengikuti kursus anjuran swasta, ia mengenakan bayaran mahal.

“Rugi jika penduduk tidak mengikuti latihan ini kerana bukan mudah untuk kerajaan atau NGO menyediakan latihan secara percuma dengan tenaga pengajar terlatih,” katanya selepas merasmikan
Program Empower peringkat Lipis, di sini, kelmarin.

Mohamad Shahrum, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM2.4 juta untuk melaksanakan program Empower fasa kedua tahun ini yang turut diperluaskan ke Temerloh, Cameron Highlands dan beberapa daerah lain secara berperingkat.

Menurutnya program itu adalah lanjutan daripada program fasa pertama tahun lepas membabitkan peruntukan sebanyak RM4.1 juta di Bentong yang berjaya melahirkan ramai peniaga dan usahawan kecil.

“Program Empower anjuran ECER ini membolehkan lebih ramai penduduk dapat menyertai program modul insan menerusi latihan kemahiran, usahawan dan akademik dalam usaha meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.

Perintis fasa pertama yang dimulakan di Bentong bermula April tahun lalu memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk terdiri daripada pelajar, penganggur, mahasiswa serta ibu dan bapa tunggal yang tidak mempunyai pendapatan.

Mereka yang mengikuti kursus dan latihan Empower itu mampu memperoleh pendapatan tetap antara RM1,000 hingga RM1,500 ke atas setiap seorang.

Selain itu lebih 500 pelajar kurang cemerlang dari beberapa sekolah rendah dan menengah luar bandar di Bentong berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pemlaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setelah mengikuti tuisyen Empower.