Industri pelancongan, petrokimia, pembuatan serta pertanian terbabit
KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam
mengumumkan pakej insentif menyeluruh, termasuk pengecualian cukai kepada
syarikat yang melabur dalam industri pelancongan, petrokimia, pembuatan dan
pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri berkata, insentif itu ditawarkan bagi menjana dan
memangkinkan aktiviti ekonomi dan pelaburan lebih rancak di koridor
pembangunan yang membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah
Mersing, Johor.
Antara insentif itu ialah:
l Syarikat dalam sektor pelancongan akan diberi pengecualian cukai selama 10
tahun dan pengecualian duti setem ke atas tapak pembangunan;
l Syarikat yang melabur dalam projek petrokimia akan mendapat pengecualian
cukai pendapatan 10 tahun dari tahun syarikat memperoleh keuntungan;
l Syarikat yang melabur dalam projek pembuatan akan mendapat pengecualian
cukai pendapatan selama lima tahun dari syarikat itu memperoleh keuntungan;
l Dalam sektor pertanian diberi pengecualian cukai pendapatan selama 10 tahun
bermula dari tarikh syarikat memperoleh keuntungan atau elaun cukai
pendapatan 100 ke atas perbelanjaan modal yang layak selama lima tahun; l Pengecualian duti import dan cukai jalan ke atas bahan mentah, komponen,
jentera, barang ganti, barang guna habis dan peralatan.
Abdullah mengumumkan insentif itu ketika melancarkan Majlis Pembangunan
ECER dan Pakej Insentif ECER di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di sini,
semalam.
Turut hadir Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad
Said; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Johor,
Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Amirsham A Aziz serta
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Sebelum pelancaran berkenaan, Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja
sehari ke Terengganu mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis ECER.
Majlis ECER yang dipengerusikan Abdullah dianggotai Timbalannya, Datuk Seri
Najib Razak, Menteri Besar Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor; Ketua
Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Presiden dan Ketua Pegawai
Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd Hassan Marican serta Pengerusi Eksekutif IOI
Corporation Bhd, Tan Sri Lee Shin Cheng yang mewakili sektor swasta.
Pegawai kanan Petronas yang terbabit dalam pelan induk pembangunan ECER,
Datuk Jebasingam Issace John dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
koridor pembangunan itu.
Abdullah berkata, kerajaan tidak pernah dan tidak akan membuat pinjaman
daripada Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia untuk
menampung pelbagai projek di koridor pembangunan wilayah.
“Segala program yang dijalankan di kawasan koridor adalah program kecil
hingga sederhana berteraskan rakyat seperti program pendidikan dan pertanian.
“Malah, program infrastruktur berskala besar – sekiranya ada kini sedang diteliti
semula oleh Unit Perancang Ekonomi bagi memastikan hanya projek berteraskan
rakyat dilaksanakan lebih-lebih lagi ketika harga minyak sedang melambung
tinggi,” katanya.
Perdana Menteri berkata, beliau sedar konsep pembangunan koridor itu disalah
anggap oleh sesetengah pihak untuk tujuan politik sehingga ada yang
menyebarkan khabar bahawa kerajaan mengurangkan subsidi bahan api, malah
meminjam beratus-ratus bilion ringgit daripada IMF dan Bank Dunia untuk
menampung projek mega di koridor pembangunan.
Beliau berkata, kerajaan yakin fokus kepada projek kecil dan sederhana yang
berteraskan rakyat mampu menjadi pemangkin bagi menjana peluang ekonomi
rakyat serta membantu mencapai objektif pembangunan seimbang di seluruh
negara.
Katanya, kerajaan mahu tahap sosioekonomi masyarakat ditingkatkan selaras dengan tahap sosioekonomi di kawalan Lembah Klang dan bandar utama di
seluruh negara.
Abdullah berkata, Majlis ECER akan menjadi peneraju utama menggalak dan
mempromosi aktiviti ekonomi swasta di koridor pembangunan.
“Majlis ini juga akan memantau dan menilai keberkesanan aktiviti dan program
pembangunan bagi memastikan pembangunan sosioekonomi masyarakat dapat
dilaksanakan dengan lebih menyeluruh lagi seimbang,” katanya.
Abdullah berkata, sejak pelancaran ECER tahun lalu, beliau berpuas hati dengan
sekretariat ECER yang gigih memulakan usaha pembangunan projek serta
program dikenal pasti dalam pelan induk berkenaan.