KUALA TERENGGANU 14 Jun – Kerajaan tidak akan meminjam wang dari Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia untuk menampung pelbagai projek
mega di koridor-koridor pembangunan yang diwujudkan di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, kerajaan tidak
pernah dan tidak akan berbuat demikian kerana masih mampu untuk melaksanakan
pembangunan koridor-koridor berkenaan walaupun ada pihak beranggapan negara
sedang berhadapan masalah kerana mengurangkan subsidi minyak.
Beliau memberitahu, koridor-koridor berkenaan seperti ECER telah berjaya menarik
pelaburan setakat ini bernilai RM18 bilion termasuk dari Asia Barat yang berminat
untuk melabur dalam bidang pertanian.
Kata Abdullah, beliau sedar ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan
khabar angin bahawa kerajaan meminjam beratus bilion ringgit dari IMF dan Bank
Dunia untuk tujuan itu.
Menurutnya, apa yang diperkatakan oleh golongan berkenaan adalah satu
pembohongan dan merugikan rakyat jika mereka percaya dengan khabar tersebut.
”Saya sedar konsep pembangunan koridor ini telah disalah anggap oleh sesetengah
pihak untuk tujuan politik mereka.
”Ada yang menyebarkan khabar angin bahawa kerajaan mengurangkan subsidi
bahan api, malah meminjam beratus bilion ringgit dari IMF dan Bank Dunia untuk
menampung pelabagi projek mega di koridor-koridor pembangunan. Ini adalah satu
pembohongan.
”Orang macam ini memang ada. Mereka sentiasa beri pandangan yang tidak betul
supaya rakyat tidak suka dan tidak sokong kerajaan, jadi kerajaan akan gagal dan
mereka seronok kerana ia akan jadi satu sebab untuk kutuk kerajaan, itulah kerja
mereka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pembangunan ECER serta
melancarkan Pusat Kecemerlangan ECER di sini hari ini.
Menurut Abdullah, segala program yang dijalankan di kawasan koridor adalah
program kecil hingga sederhana yang berteraskan rakyat seperti program
pendidikan dan pertanian.Malah jelasnya, program infrastruktur berskala besar, sekiranya ada, kini sedang
diteliti semula oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) bagi memastikan hanya projek
yang berteraskan rakyat dilaksanakan.
”Lebih-lebih lagi ketika harga minyak sedang melambung tinggi, rakyat mahu pun
kerajaan kini sedang membuat anjakan dan perubahan bagi menghadapi situasi
global baru ini,” ujarnya.
Perdana Menteri memberitahu, dengan menambah fokus kepada projek kecil dan
sederhana yang berteraskan rakyat, kerajaan yakin bahawa koridor pembangunan
mampu menjadi pemangkin utama menjana peluang ekonomi untuk rakyat ke arah
mencapai objektif pembangunan seimbang bagi seluruh negara.
Abdullah yakin rakyat bijak menilai apa yang dilakukan oleh kerajaan dan
menyokong usaha tersebut kerana ia adalah untuk kebaikan mereka.
”Umpamanya pelaksanaan pembangunan pertanian dalam koridor pembangunan
dilaksanakan kerana kita mahu jaga Polisi Keselamatan Makanan Negara.
”Kita kena hasilkan barangan keperluan seperti beras untuk memenuhi stok
penimbal kita,” ujarnya lagi.