Ladang tenusu berharga RM50 juta milik First Dairy Farm (M) Sdn. Bhd. (Fidaf)
dijangka menghasilkan lebih lapan juta liter susu tahun ini.
Ladang seluas 446 hektar itu terletak di Muadzam Shah, Pahang, kawasan yang
dikhususkan bagi kegiatan penternakan lembu dan penghasilan tenusu di bawah
pelan induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Ia dijangka memulakan operasi
bulan ini.
Ladang itu akan mempunyai kandang tertutup pertama di Malaysia, yang akan
dilengkapi unit kawalan berhawa dingin bagi mewujudkan keadaan iklim yang
serupa dengan tempat asal lembu peliharaan, kata Sekretariat ECER dalm satu
kenyataan di sini hari ini.
Presiden Fidaf, Datuk Wan Abdullah Wan Salleh, berkata, di bawah fasa pertama
pembangunan tersebut, syarikat itu akan mendirikan tiga bangsal dengan setiap
satu menampung kira-kira 100 ekor lembu.
“Ladang tenusu itu akan dimajukan dalam empat peringkat. Kumpulan pertama
sebanyak 284 lembu Jersey dari Australia baru sahaja tiba dan kami menjangkakan
jumlah ini akan meningkat empat kali ganda kepada 1,136 lembu dalam fasa kedua
operasi kami menjelang akhir tahun,” katanya.
Kata beliau, susu lembu itu akan diperah dua kali sehari dan setiap lembu tenusu
dijangka menghasilkan 22 liter susu segar setiap hari.
“Apabila beroperasi sepenuhnya, pengeluaran susu akan meningkat kepada 22,000
liter sehari,” jelas beliau.
Fidaf adalah perintis dalam penggunaan teknologi terbaharu dari New Zealand dan
Australia bagi menyejuk beku susu di bawah 4C dalam tiga saat berbanding tiga
jam, untuk mengelakkannya daripada tercemar.
Syarikat yang pada masa ini membekalkan susu kepada Dutch Lady Milk Industries
Bhd. dan pengeluar produk tenusu lain di Malaysia itu, merancang untuk
memasarkan susu di bawah jenamanya sendiri.Pengarah Eksekutif Fidaf, S. Muhd Alwi berkata, syarikat itu telah memohon tanah
seluas 400 hektar lagi untuk peluasan pada masa akan datang bagi memanfaatkan
permintaan yang kukuh bagi susu.