Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
TUMPAT: Usaha kerajaan negeri mahu meningkatkan sosioekonomi di kawasan tumpuan pelancong di Kampung Laut mendapat tentangan pemimpin parti serpihan. Projek Kampung Warisan Pelancongan Kampung Laut pernah ditentang pemimpin Parti Amanah Negara (PAN).
Bagaimanapun sekarang projek itu memasuki fasa pembangunan. Fasa pertama pembinaan lot dan rumah penduduk yang terbabit dengan projek terbabit. Projek terbabit siap sepenuhnya dan sudah diduduki penduduk tahun lepas.
Penempatan yang dibangun daripada bekas sawah padi kini dikenali sebagai Taman Warisan Jaya Kampung Laut. Ia dirasmikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Ahmad Yakob tahun lepas. Di penempatan itu terdapat 12 lot rumah dan 8 tapak kilang.
Di mana empat rumah dibina kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Kelantan dan program rumah dhuafat. Pengarah Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan Shalahuddin Che Husin berkata, penduduk yang terbabit sudah berpindah ke kediaman baharu dua bulan lepas. “Kerja-kerja meroboh rumah lama penduduk yang ditinggalkan berjalan lancar dengan kerjasama pihak berkuasa,” katanya di sini.
Kampung Warisan Pelancongan yang diadakan dengan kerjasama Koridor Ekonomi Wilayah Timur (ECER) bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk Kampung Laut yang terkenal industri dodol dan serunding. Shalahuddin juga berkata, projek pelancongan itu turut melibatkan pembinaan tebatan banjir yang bermula di Balai Polis Palekbang sehingga Kampung Kok Majid.
Beliau difahamkan projek itu bernilai RM130 juta merupakan kompenan awal sebelum dibangunkan Kampung Warisan. Kata beliau sebuah syarikat dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai pemaju projek tebatan di tebing Sungai Kelantan sejauh tujuh kilometer.
“Kita dimaklumkan projek tebatan banjir akan dimulakan selepas proses merobohkan kediaman penduduk terlibat selesai dilaksanakan,” katanya. Shalahuddin juga berkata pembinaan benteng setinggi tiga meter dijangka siap dalam tempoh dua tahun bagi mengelakkan limpahan air Sungai Kelantan ketika musim banjir.
Tebatan banjir itu bakal merhberi manfaat kepada penduduk selaras usaha kerajaan negeri membangunkan kawasan itu sebagai Kampung Warisan untuk tumpuan pelancong