LADANG tenusu berharga RM50 juta milik First Dairy Farm (M) Sdn Bhd
(Fidaf) di Muadzam Shah, Pahang dijangka menghasilkan lebih lapan
juta liter susu, tahun ini.
Ladang seluas 446 hektar itu adalah kawasan yang dikhususkan bagi
kegiatan penternakan lembu dan penghasilan tenusu di bawah pelan
induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan ia dijangka
memulakan operasi bulan ini.
Ladang itu akan mempunyai kandang tertutup pertama di Malaysia,
yang dilengkapi unit kawalan berhawa dingin bagi mewujudkan keadaan
iklim serupa dengan tempat asal lembu peliharaan, kata Sekretariat
ECER dalam kenyataan di Kuala Lumpur.
Presiden Fidaf, Datuk Wan Abdullah Wan Salleh, berkata dalam fasa
pertama pembangunan terbabit, syarikat itu akan mendirikan tiga
bangsal dengan setiap satu menampung 100 ekor lembu.
Katanya, ladang tenusu itu akan dimajukan dalam empat peringkat,
dengan kumpulan pertama 284 lembu Jersey dari Australia baru saja
tiba.
Beliau berkata, pihaknya menjangka jumlah itu meningkat empat kali
ganda kepada 1,136 lembu dalam fasa kedua operasi syarikat
menjelang akhir tahun.