1/5/2013 — Utusan Malaysia
KUANTAN 4 Jan. – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ningxia Light and Textile Bureau (NLTB) dari China bagi membentuk kerjasama mewujudkan peluang pelaburan dalam industri halal antarabangsa.
Majlis menandatangani MoU antara kedua-dua pihak disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam satu majlis di sini hari ini.
Bercakap kepada pemberita, Adnan berkata, MoU tersebut adalah lanjutan daripada kerjasama antara China dan Malaysia bagi mewujudkan projek Taman Industri Malaysia-China di Kuantan (MCKIP) yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, April lalu.
Katanya, skop kerjasama meliputi bidang pembuatan, pemadanan perniagaan, pensijilan halal, pergudangan dan logistik, dasar perkongsian maklumat serta pembangunan.
“Industri halal yang disasarkan adalah makanan dan minuman diproses, daging, produk biologi, bijirin dan minyak masak, makanan ringan, farmaseutikal, produk kesihatan dan pakaian,” katanya.