Murid cemerlang Bentong ikuti kem motivasi

12/24/2012 — Utusan Malaysia

BENTONG 23 Dis. – Seramai 120 murid cemerlang Sekolah Kebangsaan (SK) Sulaiman, SK Lurah Bilut, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Karak dan SJK (Tamil) Bentong menyertai program motivasi sebagai persediaan memasuki tingkatan satu di sini semalam.
Program di bawah Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) itu dikendalikan oleh Pegawai Pelajaran Daerah Raub, Zulhilmi Zainuddin dan Pegawai Pelajaran Daerah Bentong, Liew Kim Choon.
Hadir merasmikan program tersebut yang berlangsung di Pejabat Pelajaran Daerah Bentong itu ialah Penolong Pegawai Daerah Bentong, Mohd. Zaidi Yahaya.
Ketika berucap merasmikan program tersebut, Mohd. Zaidi berkata, program anjuran ECER itu dilihat cukup berkesan dalam meningkatkan keyakinan dan memberi perangsang kepada pelajar untuk mencipta kecemerlangan.
Katanya, kem motivasi seperti itu sangat berfaedah kerana berjaya memberi pendedahan kepada peserta supaya lebih bersedia untuk menghadapi pembelajaran yang lebih mencabar di peringkat menengah.
“Saya yakin pelajar yang menghadiri program ini mampu menterjemahkan segala ilmu yang dipelajari walaupun Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan dimansuhkan bermula tahun 2014.
“Walaupun tidak ada lagi PMR, pelajar perlu melipatgandakan usaha menghadapi perubahan dalam sistem pendidikan yang digubal bagi memenuhi tuntutan semasa agar dapat melahirkan modal insan lebih berjaya,” katanya.

Program tersebut adalah sebahagian daripada agenda pembangunan modal insan di bawah ECER bagi meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), PMR dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).