Kerjasama Erat Pusat-Negeri Penting

10/24/2009 — Utusan Malaysia
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah mahu kerjasama antara kerajaan Pusat dan negeri dipereratkan lagi demi pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Baginda amat berpuas hati dengan projek-projek yang dilaksanakan di Pahang seperti pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang memberi banyak faedah kepada rakyat.
”Bagi projek Taman Industri Gas, Minyak dan Maritim di Tanjung Agas di sini sahaja, kerajaan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh.
”Beta amat berbesar hati kerana projek berkenaan bukan sahaja akan membangunkan negeri ini, malah akan membuka peluang pekerjaan kepada lebih 30,000 penduduk tempatan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada istiadat pengurniaan darjah-darjah kebesaran Pahang sempena Hari Keputeraan baginda ke-79 di Istana Abu Bakar di sini hari ini.
Pada istiadat berkenaan, isteri Menteri Dalam Negeri, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah merupakan antara 1,144 penerima darjah kebesaran dan pingat dengan dianugerahkan darjah kebesaran Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Datuk.
Menurut Sultan Ahmad Shah, selain memberi manfaat kepada penduduk tempatan, projek berkenaan dijangka melibatkan kemasukan pelaburan asing sebanyak RM19 bilion.
”Sesungguhnya beta berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau tidak lupa memakmurkan negeri sendiri walaupun sibuk memberi perhatian dan tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan seluruh negara,” titah baginda.
Baginda turut memuji pembentangan Bajet 2010 yang bertemakan 1Malaysia Kemakmuran Bersama yang lebih memberi keutamaan kepada kesejahteraan rakyat.
”Beta yakin tiga strategi yang digunakan iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat akan dicapai dengan jayanya,” titah baginda.
Dalam pada itu, Sultan Pahang mengingatkan kepada penerima pingat dan darjah kebesaran itu supaya menjaga tingkah laku dan tidak melakukan sesuatu yang memalukan gelaran yang dianugerahkan itu.