4/9/2011 — Berita Harian
Konurbasi Kuantan merangkumi daerah ini, Gambang, Gebeng, Pelabuhan dan bandar Kuantan bakal menjadi pengelompokan bandar utama di negara ini yang akan memacu pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), kata Datuk Seri Najib Razak.
Perdana Menteri berkata, Konurbasi Kuantan juga akan menjadi nadi kepada Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) bermula dari Kerteh, Terengganu sehingga ke sini juga dapat mengimbangi ketidakseimbangan antara pembangunan di wilayah berkenaan dengan kawasan lain di negara ini.
Beliau berkata, Konurbasi Kuantan juga dijangka bakal mengikut jejak langkah pengelompokan bandar utama yang terkenal seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru dalam menjadi sebuah konurbasi yang berintegrasi dan padat dengan aktiviti ekonomi serta penyumbang kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI).
Katanya, bagi mencapai matlamat berkenaan, kerajaan menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melaksanakan pelbagai projek berimpak tinggi antaranya Taman Automotif Pekan, Hab Halal Gambang, Kompleks Petrokimia di Gebeng dan Kertih serta pembangunan Pelabuhan Kuantan sebagai pelabuhan air dalam.
“Melalui semua usaha bersepadu ini, ECERDC sedia mengalu-alukan kedatangan lebih ramai pelabur dalam dan luar negara seiring Program Transformasi Ekonomi (ETP) kerajaan,” katanya ketika berucap merasmikan Kompleks Pemasaran Setempat (CMC), Taman Industri Automotif di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat; Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Berhad, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.
Mengulas lanjut, Najib berkata, projek berimpak tinggi seperti Taman Automotif Pekan yang dilaksanakan kini akan menjadi antara projek pemangkin kepada Konurbasi Kuantan.
“Menerusi ECERDC, kerajaan sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pengeluar kereta luar negara yang berminat memasang kenderaan mereka, termasuk membangunkan prasarana bagi kenderaan mesra alam di Taman Automotif Pekan,” katanya.
Mengenai proses pembangunan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP), Najib berkata, ia akan dilaksanakan secara inklusif dengan mencakupi masyarakat bandar serta meliputi kawasan luar bandar, termasuk di pedalaman di Sabah dan Sarawak.
Pembangunan kawasan luar bandar untuk memberi manfaat kepada masyarakat kawasan terbabit sememangnya menjadi agenda diperjuangkan kerajaan sejak dulu dan ia dibuktikan menerusi projek Buku Merah yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sehingga lahirnya FELDA.
Najib berkata, pembangunan tidak hanya bertumpu di Lembah Klang atau bandar lain di seluruh negara, tetapi ia kini diperluaskan ke kawasan luar bandar.
“Ini bermakna setiap kelompok dalam masyarakat di seluruh negara akan mendapat sentuhan pembangunan dilaksanakan kerajaan,” katanya pada majlis Penyerahan Kunci Rumah Kepada 100 keluarga di Agropolitan Pekan, Batu 8, Mukim Lepar di sini, semalam