RM110j bangun taman herba

4/15/2011 — Berita Harian
Empat projek seluas 1,000 hektar jadikan ECER hab industri herba.
KERAJAAN akan membelanjakan RM110 juta dalam tempoh tiga tahun ini  bagi pembangunan infrastruktur di empat projek taman herba di kawasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Peojek taman herba seluas lebih 1,000 hektar itu akan dibangunkan menerusi Projek Permulaan (EPP) bagi sektor pertanian melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam usaha menjadikannya hab industri herba di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, berkata projek perladangan herba itu dijangkakan menjana Pendapatan Negara Kasar (GNI) RM3.25 bilion menjelang 2020 dan mewujudkan lebih 2,500 peluang pekerjaan dan 530 pekebun kontrak.
Katanya, pelaksanaan projek taman herba itu mampu mengukuhkan lagi kedudukan ECER sebagai pusat kecemerlangan industri yang mampan dan berdaya maju dalam industri herba.
”Pertumbuhan industri herba bukan saja bersandarkan kepada kepelbagaian sumber asli negara, malah kekukuhan sektor pembuatan mampu meningkatkan pemprosesan dan pembuatan produk berkaitan kesihatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Peluang Pelaburan dan Perniagaan Dalam Industri Herba di Kuala Lumpur, semalam.
Hadir sama, Ketua Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John; dan Ketua Eksekutif Malaysian Biotech Corporation, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.
Fasa pertama projek yang membabitkan tanah seluas 406 hektar di Pasir Raja, Dungun dan 327 hektar di Chegar Perah, Lipis dijangka diselesaikan menjelang suku pertama 2012.
Fasa kedua merangkumi pembangunan ladang herba seluas 151 hektar dan Rantau Manis, Gua Musang seluas 323 hektar pula dimulakan pada fasa kedua Rancangan Malaysia Ke-l0 (RMKe10) (2012-2013).
Nor Mohamed berkata, untuk menggalakkan penyertaan sektor swasta dalam projek itu, ECERDC akan melantik sebuah syarikat induk bagi setiap kawasan projek herba yang akan menerajui rantaian nilai herba di ECER.
Katanya, syarikat itu akan menikmati pelbagai insentif diberikan kerajaan antaranya pengecualian cukai selama 10 tahun berkuat kuasa daripada tarikh syarikat mencatat keuntungan.
Beliau berkata, industri herba Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan pada kadar 15 peratus setahun dengan nilai pasaran dianggarkan meningkat dari RM7 billion pada 2010 kepada RM29 billion pada 2020.
Katanya, kerajaan komited untuk menjadikan Malaysia hab serantau bagi kluster herba menjalang 2020, menerusi usaha promosi meluas di dalam dan luar negara.