10/7/2012 — Sinar Harian
KEMAMAN – Pembinaan loji bersepadu biometionina dan tiokimia pertama di dunia di Taman Biopolimer di Kerteh adalah pencapaian penting dalam sejarah pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kerana ia merupakan projek pertama bakal meletakkan Terengganu sebagai pusat teknologi terkini dan peneraju serantau dalam sektor biopenapisan.
Terletak di kawasan seluas 70 hektar, projek bernilai RM2 bilion itu melibatkan pembangunan loji bio-metionina CheilJedang CJ (CJ) dari Korea dan platform tiokimia Arkema dari Perancis yang bakal beroperasi akhir 2013.
Fasiliti bersepadu tersebut akan menjadi yang pertama di dunia menggunakan proses penapaian dalam menghasilkan L-metionina, sejenis asid amino yang biasanya digunakan dalam pembuatan makanan haiwan.
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) merupakan rakan kerjasama dalam menarik pelaburan itu ke negara ini dan merealisasikan pelaksanaannya di Taman Biopolimer Kerteh berkenaan.
Destinasi pelaburan menarik
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pembinaan loji pembuatan itu oleh dua syarikat antarabangsa terkenal akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik bagi industri bioteknologi.
“Ini merupakan detik membanggakan buat Malaysia kerana kita kini mempunyai dua syarikat global terkemuka dalam industri bioteknologi dan kimia yang telah mewujudkan kehadiran mereka di negara ini, dengan membawa bersama kepakaran teknologi dalam bidang masing-masing,” katanya pada majlis pecah tanah projek itu dekat sini semalam.
CJ merupakan peneraju dunia dalam industri bioteknologi dengan inovasi penapaian dan penulenan dan ia juga adalah pengeluar utama produk berasaskan penapaian dengan operasi perniagaan di enam benua, sementara Arkema pula merupakan syarikat kimia global dan pengeluar bahan kimia khusus yang terkemuka dari Perancis, dengan operasi di lebih daripada 40 buah negara.
Fasiliti bersepadu tersebut akan membolehkan CJ memenuhi permintaan yang tinggi bagi metionina, sejenis asid amino sulfur yang digunakan secara meluas untuk menghasilkan makanan haiwan di Asia, serta membolehkan Arkema menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggannya di Asia melalui platform perindustrian terbaru tersebut.
Sedia peluang kerjasama
Pelaburan oleh CJ dan Arkema ini merupakan satu mercu tanda bagi industri bahan tambah untuk bahan makanan ternakan global kerana buat pertama kalinya pengeluaran bio-metionina akan menggabungkan penggunaan bioteknologi terkini dan kimia gunaan.
“Ia adalah pelaburan pertama oleh syarikat bioteknologi antarabangsa di Malaysia yang akan meletakkan negara setanding dengan pengeluar makanan dan pengeksport global lain. Ia juga membuktikan bahawa negara kini telah muncul sebagai pemain yang penting di pentas inovasi global.
“Perkembangan ini juga akan membolehkan penggiat industri bioteknologi tempatan membangunkan kepakaran dalam bidang khusus seperti kejuruteraan kimia dan bioteknologi perindustrian sekali gus menyediakan peluang kerjasama di antara penggiat industri global dan universiti tempatan di Terengganu menerusi inisiatif Pusat Kecemerlangan ECER Malaysia.
Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, Ketua Pegawai Eksekutif CJ CheilJedang, Kim Chul Ha; Naib Presiden Eksekutif Arkema, Marc Schuller; Duta Republik Korea ke Malaysia, Lee Yong Joon; Duta Besar Perancis ke Malaysia, Martine Dorance dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.
Sementara itu, Schuller berkata, projek signifikan itu bakal mengukuhkan lagi kedudukan pihaknya sebagai peneraju dunia dalam bidang bahan kimia sulfur dan membolehkan mereka memenuhi keperluan pelanggan dan rakan-rakan kongsi syarikatnya yang semakin meningkat dari pasaran petrokimia, pemakanan haiwan serta minyak dan gas di Asia.