9/27/2012 — Bernama
MARANG, 27 Sept (Bernama) — Kebiasaannya petai belalang atau nama saintifiknya ‘Leucaena Leucocephala’ hanya digunakan penduduk luar bandar sebagai ulam tetapi kini pokoknya ditanam dalam usaha membangunkan industri bioteknologi di Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata penanaman 40,000 biji benih pokok petai belalang di kawasan dua hektar tanah di Merchang di sini menjadi langkah pertama ke arah mencapai matlamat
pembangunan industri berkenaan.
pembangunan industri berkenaan.
“Apabila tanaman itu matang sekitar dua atau tiga tahun nanti, ia akan meningkatkan permintaan terhadap industri bioteknologi di sini terutama sekali bagi Taman Kertih BioPolimer di Kemaman yang akan beroperasi pada 2014.
“Batang pokok petai belalang ini boleh digunakan sebagai bahan membuat pelbagai jenis kayu papan atau menghasilkan tenaga wap manakala buah serta daunnya pula dijadikan bahan makanan berasaskan biojisim,” katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Ahmad merasmikan penanaman biji benih pokok petai belalang di Merchang yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John.