LEMBAGA Pertubuhan Peladang (LPP) akan membangunkan tanaman ubi kentang di kawasan
seluas 80 hektar di Kelantan dan Terengganu selaras dengan pelan pengeluaran makanan di bawah
pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Sehingga kini, LPP sudah menanam kira-kira 122 hektar tanaman ubi kentang jenis vitato
membabitkan pelaburan berjumlah RM1.23 juta.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam, LPP berkata, pihaknya turut
mensasarkan untuk membangunkan kira-kira 1,000 hektar jenis ubi berkenaan di Lembah Pertanian
(Agro Valley) antara Bachok,Besut – Setiu – Kuala Berang.
“Kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai zon yang sesuai untuk tanaman jangka pendek terutama
ubi kentang,” katanya.
Di Terengganu, LPP turut memperluaskan penanaman tanaman itu di Kampung Setiu dan Kampung
Gong Machang (Besut) masing-masing membabitkan kawasan seluas 50 hektar dan 40 hektar sejak
Januari lalu selain ladang seluas 16 hektar di Kandis dan Bachok, Kelantan.
Bagi fasa pertama membabitkan kawaan tanaman seluas 200 hektar, LPP mensasarkan untuk
mengutip hasil antara 2,400 hingga 4,000 metrik tan ubi kentang bagi tempoh tiga hingga empat
bulan.
Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapha Mohamed ketika membuat
lawatan ke ladang tanaman itu baru-baru ini, berkata kementerian akan memperluaskan fungsi
tanaman ini setanding dengan jenis makanan utama lain.
Mustapha berkata, daripada kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (Mardi) mendapati tanaman itu mempunyai potensi yang besar untuk menggantikan
tembakau.
Sementara itu, LPP juga sudah melantik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama),
Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nafas) bagi
mempromosi dan memasarkan ubi kentang jenis vitato ke seluruh negara.