Lukman Adam terima bantuan ECERDC

8/4/2012 — Utusan Malaysia

CAMERON HIGHLANDS 3 Ogos – Ramadan tahun ini membawa keceriaan kepada seorang murid, Lukman Adam Yatim, 12, yang dipilih menerima bantuan pendidikan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menerusi Program Anak Harapan.
Lukman Adam yang merupakan anak ketujuh kepada seorang ibu tunggal, Noraliza Abdullah Khalidi, 43, yang hanya menyewa di sebuah bilik kecil berdekatan surau Flat Jasar, Tanah Rata di sini juga menerima bantuan buku-buku rujukan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Di bawah Program Anak Harapan itu juga, ECERDC memperuntukkan sebanyak RM2,000 bagi menyediakan peralatan perabot, kain selimut, tilam, dapur dan ruang belajar di bilik sewa berkenaan untuk Lukman Adam, murid Tahun Enam, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Rata di sini.
Majlis pelancaran program itu dan penyampaian bantuan peralatan ECERDC kepada keluarga berkenaan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Datuk Ho Yip Kap, baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John berkata, pemilihan Lukman Adam dibuat memandangkan murid berkenaan amat miskin dan tinggal di sebuah bilik dengan ibunya serta enam adik-beradik yang lain.
“Ibunya bekerja sebagai pengemas bilik di sebuah hotel di Tanah Rata dengan upah bulanan sebanyak RM700 sememangnya tidak mampu untuk menyara tanggungan yang ramai.
“Apabila menerima laporan kemiskinan Lukman Adam, kita berasa terpanggil lantas memilih murid ini untuk diberi bantuan persekolahan di samping kemudahan belajar di ruang bilik penginapan mereka,” katanya.
Menurutnya, pihak pengurusan ECERDC di sini akan memantau perkembangan pelajaran Lukman Adam dan seorang adiknya, Aishah Yatim, 10, agar nasib mereka terjamin dan memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR.
Sementara itu, Noraliza bersyukur dan berterima kasih kasih kepada ECERDC menerusi sumbangan berkenaan yang disifatkan mengurangkan beban keluarganya menyediakan persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Saya tidak membuat kuih dan berbelanja membeli baju untuk anak-anak pun hanya ala kadar seperti tahun-tahun sebelum ini kerana tidak mampu,” katanya.

Dia berkata, bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya sebanyak RM300 hanya untuk berbelanja keperluan makanan, manakala upah sebagai pengemas bilik hotel untuk membayar sewa kediaman sebanyak RM250 sebulan dan selebihnya menampung persekolahan anak.