Majuikan buka ladang ternak mesra alam RM10 Juta

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Majuikan Sdn Bhd, milik penuh
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), membuka ladang
ternak mesra alam sekitar bernilai RM10 juta, untuk membiakkan
anak ikan.
Sekretariat Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dalam satu
kenyataan berkata ladang ternak seluas lapan hektar itu
merupakan usaha sama antara Majuikan dengan Mytrans Holding
Sdn Bhd, akan menternak sehingga 500 tan metrik ikan setahun.
Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mustafa Ahmad berkata, MyIkan, ladang ternak ikan
mesra alam sekitar yang menggunakan teknologi dari Norway itu akan dibangunkan
dalam dua peringkat.
“Fasa sekarang ialah pembiakan ikan manakala fasa kedua akan menyaksikan
pembangunan pusat penetasan dan pusat pemprosesan selepas penuaian.
“MyIkan akan beroperasi penuh pada akhir tahun dengan tuaian pertama dijangka
pada Jun 2009,” katanya.
Beliau berkata terdapat permintaan pesat daripada sektor akuakultur.
“MyIkan juga membentuk hubungan bernilai dalam rantaian bekalan ikan dan
pembeli dari Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan China,” katanya.
Mustafa berkata penggunaan perkapita ikan Malaysia pada 49 kilogram ketika ini
merupakan antara yang tertinggi di dunia.
Beliau berkata berdasarkan anggaran Dasar Pertanian Nasional, permintaan ikan
negara dijangka berkembang kepada 1.5 juta tan metrik menjelang 2010, dengan
penggunaan perkapita 56 kilogram.