Membangunkan Pantai Timur sebagai ‘model negeri Melayu’

9/10/2009 — Berita Harian

PELANCARAN Zon Ekonomi Bebas Wilayah Pantai Timur (SEZ-ECER) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini memperlihatkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan pembangunan negara ke serata kawasan.

Dulunya, kawasan tumpuan pembangunan dilihat ketara berlaku di Pantai Barat Semenanjung, kini tebaran pembangunan berlaku dengan rancak di segenap kawasan di seluruh negara.

Komitmen memajukan SEZ-ECER oleh Kerajaan Persekutuan di negeri-negeri berhadapan Laut China Selatan merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang serta Johor (Mersing) bakal menyaksikan ia berkembang sebagai zon ekonomi terbesar di Asia sekiranya kejayaan SEZ-ECER ini digembleng sepenuhnya.

Jangkaan SEZ-ECER yang dilihat mampu menarik pelaburan asing dan domestik sehingga anggaran mencecah RM90 bilion menjelang 2020 memperlihatkan betapa kerangka strategik pembangunan ‘zon pantai Laut China Selatan’ ini diberikan perhatian Kerajaan Persekutuan secara bersepadu.

Peluang melebar luas ruang penjanaan pendapatan rakyat juga dirangka supaya berlaku kenaikan, dan ini disasarkan oleh SEZ itu dengan anggaran menyediakan 220,000 peluang kerja. Inilah gaya ekonomi Malaysia yang memperlihatkan bahawa setiap pembangunan mengambil kira kesan rantaian dan rangsangan perolehan oleh rakyat.

Dengan kedudukan yang strategik bagi dijadikan tarikan ekonomi untuk Timur Asean, maka ECER dilihat mampu digemblengkan potensi strategiknya. Jika selama ini kawasan pantai timur Semenanjung yang juga ramai populasi Melayunya dilihat mundur, maka kini tiba masanya komuniti Laut China Selatan untuk mengorak langkah kemajuan

Pelancaran serta komitmen memajukan Zon Ekonomi Bebas di kawasan ini dilihat penting sebagai nadi infrastruktur kemudahan pembangunan untuk pelaburan masa depan. Ia bukan pembaziran tetapi perbelanjaan awal kerajaan untuk merangsang pertumbuhan dan galakan demi menyediakan ‘yis ekonomi’ yang mampu menjadi asas perkembangan modal dan struktur pembangunan komuniti ekonomi pantai Laut China Selatan ini.

Nikmat strategi pembangunan SEZ-ECER ini dilihat penting untuk keseluruhan kerajaan dan rakyat di negeri-negeri terbabit untuk bersama-sama berusaha menggemblengkan manfaatnya. Kini di bawah pentadbiran Najib, bermakna pantai timur sudah ada dua tokohnya berjaya ke jawatan Perdana Menteri, iaitu Tun Razak dan kini anaknya Najib.

Untuk itu, keprihatinan Perdana Menteri pastinya memberikan kesedaran dan kefahaman yang dekat di hatinya untuk memajukan kawasan berkepadatan Melayu ini. ECER sebenarnya medan ujian politik, ketahanan bangsa serta juga medan menguji kepengurusan Melayu.

Secara nilai tersiratnya, ECER dan juga penjanaan SEZ ini mampu dijadikan medan menguji tahap kesediaan dan kemurnian kerjasama dan jika berjaya ia mampu memaparkan model kerjasama dan perpaduan erat antara perbezaan dua entiti politik Melayu, iaitu Pas yang mentadbir Kelantan bersama tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Johor di bawah pimpinan Umno.

Dalam politik diakui bukan mudah untuk mengetepikan soal ‘pertentangan politik’ dan memurnikannya secara menyeluruh. Tetapi dalam konteks SEZ-ECER ini, tema pembangunannya sudah semesti berteraskan kepada pembangunan Melayu dan Bumiputera.

Potensi memajukan kawasan seluas 66,736 kilometer persegi itu amat baik apatah lagi kawasan itu merangkumi 51 peratus daripada keluasan Semenanjung yang juga membabitkan 3.9 juta penduduk dengan 80 peratus adalah Melayu.

Pantai Timur Semenanjung dilihat sebagai ‘model negeri Melayu’, yang pastinya dengan kejayaan ECER ini maka dengan sendirinya memberikan konotasi penting bahawa negeri berkepadatan penduduk Melayu yang juga Islam mampu bersaing dan maju seiringan.

Soal berbezanya ideologi politik perlu diketepikan. Kini masanya segenap lapisan pimpinan di negeri masing-masing bersama-sama untuk membina jaringan bersepadu antara negeri-negeri serta ditambah nilai pula oleh komitmen besar Kerajaan Persekutuan.

ECER adalah bukti Kerajaan Persekutuan sangat berminat serta progresif sifatnya demi kemajuan dan pembangunan negeri dan rakyat. Untuk itu sambutan ke atas komitmen kerjasama itu perlu diharmonikan ke empat-empat negeri dengan memberikan kerjasama bersepadu kepada Najib selaku pemimpin negara demi kemajuan bersama.

Komitmen Najib bahawa ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ perlu dijadikan sandaran oleh keseluruhan pimpinan politik di negeri-negeri ECER, termasuk Kelantan. Soal kepartian harus diketepikan, dan komitmen melihat rakyat didahulukan perlu disemai dalam sanubari kepemimpinan negeri.

Komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan koridor pembangunan yang keseluruhan pelaburannya dianggarkan RM1,074 bilion termasuk bagi ECER dengan projek pembangunan koridor membabitkan pelaburan RM112 bilion, tidak harus dipersiakan. Kegagalan menjayakan koridor ini pasti memberikan impak kepada rakyat.

Mengoptimumkan masa sangat penting bagi Malaysia. Untuk maju pada 2020, masa yang dipunyai negara hanya sedekad, yakni 10 tahun ke hadapan. Jika dilengahkan perancangan serta pergerakan pembangunan, pasti ia tidak menguntungkan negara secara penggunaan masa yang berhemah.

Pelancaran sejak 29 Oktober 2007, dan diperkasakan pula dengan pelancaran Zon Ekonomi Bebas yang tidak terkecuali daripada teras untuk membasmi kemiskinan wajar disambut baik oleh semua pihak.

Jelas sekali bahawa teras Dasar Ekonomi Baru (DEB) terus menjadi pilihan utama kepada penggubalan dasar dan aplikasi pembangunan Malaysia. Era Najib menunjukkan bahawa ECER dengan komitmen kemajuan berteraskan kepada pembangunan utama di sektor minyak dan gas, pertanian serta pelancongan, bukan saja menjadi pemacu bagi ekonomi di wilayah terbabit malah ia dikenal pasti akan menjadi landasan kepada ekonomi Melayu dan Islam di negara ini untuk terus berusaha mendepani cabaran untuk maju dalam pembangunan ekonomi.

Kini terpulang kepada keseluruhan rakyat termasuk pemimpin perniagaan dan politik serta kerajaan di negeri berkenaan untuk menggerakkan usaha bersama komitmen kerajaan pimpinan Najib dalam memacu pertumbuhan negara. Harus disedari bahawa betapa strategi hebat dirangka, tetapi tanpa komitmen serta sokongan rakyat segenap lapangan pasti kerangka yang hebat dicipta tidak akan berjaya.

Kejayaan ECER termasuk Zon Ekonomi Bebas yang baru dilancarkan ini adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan, sektor swasta serta rakyat bukan saja untuk mempertahankan jaringan kepentingan ekonomi masing-masing, malah dengan dokongan semua pihak, maka rantaian ekonomi 1Malaysia dapat dijayakan.

By Md Shukri Shuib. Penulis ialah pensyarah di Universiti Utara Malaysia, Kedah.