10/25/2012 — Utusan Malaysia
KOTA BHARU 24 Okt. – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama Halal Industry Development Corporation (HDC) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan mengadakan misi perdagangan dan pelaburan ke Songkhla, Thailand bermula 30 sehingga 31 Oktober ini.
Misi itu akan diketuai oleh Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed bersama 90 perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian tersebut, syarikat-syarikat terbabit terlibat dalam pengeluaran produk, makanan dan minuman halal termasuk penyediaan perkhidmatan serta logistik yang menepati kehendak syarak.
Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Thailand antara tahun 2000 sehingga 2011 menunjukkan trend yang meningkat, dengan pertumbuhan tahunan kira-kira 13 peratus.
Perdagangan Malaysia dengan Thailand meningkat dari AS$6.7 bilion (RM20.4570 bilion) pada tahun 2000 menjadi AS$23.1 bilion (RM70.5520 bilion) pada 2011.
Pada masa yang sama, eksport produk halal dari Malaysia ke Thailand juga menunjukkan peningkatan yang signifikan iaitu dari AS$286 juta (RM873.318 juta) pada tahun 2010 kepada AS$562 juta (RM1.7 bilion).
Peningkatan perdagangan di antara kedua buah negara ini disebabkan syarikat-syarikat terbabit mengambil kesempatan daripada pengecualian duti di Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) dan jumlah pelaburan Malaysia di Thailand juga meningkat sejak lima tahun lalu.