10/28/2012 — Utusan Malaysia
TEMERLOH 27 Okt. – Seorang pesara kerajaan terharu apabila Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memberi sokongan dengan membantu mengembangkan lagi ternakan ikan sangkar yang diusahakan sejak 2007 lalu.
Shaharuddin Othman, 54, berkata, pada mulanya dia sudah berputus asa apabila permohonan pinjaman kewangan daripada sebuah bank di sini ditolak.
Tambahnya, alasan yang diberi pihak bank ialah kerana ternakan yang diusahakan tidak berpotensi dan berdaya saing.
“Ternakan ikan sangkar seperti ikan patin serta tilapia sebenarnya mempunyai pasaran yang cukup besar dan permintaan tidak pernah mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk di daerah ini,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurutnya, dengan sokongan ECERDC, dia akhirnya menerima pinjaman sebanyak RM10,000 daripada bank yang sama walaupun permohonan sebelum ini ditolak oleh institusi kewangan itu.