OSC LABUR RM620 JUTA BINA PANGKALAN BEKALAN

10/12/2010 — Utusan Online
Syarikat minyak dan gas dari Dubai, Oilfields Supply Center Ltd. (OSC) akan melabur RM620 juta untuk membangunkan sebuah pangkalan bekalan pengguna bersama pelbagai guna di Taman Industri Minyak, Gas dan Logistik Tanjong Agas, Pekan.
Projek itu akan dijalankan dengan kerjasama syarikat minyak dan gas tempatan, Tanjong Agas Supply Base & Marine Services Sdn. Bhd. (TASBMS).
Upacara pecah tanah bagi pangkalan tersebut dijadualkan pada bulan depan dan dijangka siap untuk beroperasi sepenuhnya pada 2013.
Pengarah Urusan TASBMS, Mohd. Faidzal Ahmad Mahidin berkata, pangkalan tersebut akan dibangunkan di kawasan seluas kira-kira 100 hektar di pinggir laut sepanjang 1.5 kilometer dengan kedalaman air 20 meter.
”Apabila siap kelak, pangkalan tersebut akan menyediakan rangkaian perkhidmatan dan kemudahan sokongan yang menyeluruh untuk syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa yang terlibat dalam operasi penerokaan dan pengeluaran minyak serta gas di luar pesisir perairan negara dan Laut Cina Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TASBMS dan OSC di Hotel Hyatt, Teluk Chempedak di sini, hari ini.
Pada majlis MoU itu, TASBMS diwakili Pengerusinya, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah manakala OSC diwakili Pengarah dan Pengurus Besar Perhubungan Korporat OSC, Iqbal Mohammed Abdullah Abedin.
Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan berangkat menyaksikan MoU tersebut bersama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John.
Dalam MoU tersebut, kedua-dua syarikat akan memberi komitmen untuk melaksanakan pembinaan dan mengendalikan pangkalan itu secara usahasama.
Projek itu dilaksanakan melalui syarikat usahasama yang baru ditubuhkan iaitu Tanjong Agas Oilfields Supply Centre Sdn Bhd (TAOSC).
Mohd. Faidzal memberitahu, TASBMS amat yakin kerjasama yang terjalin itu bakal mewujudkan impak besar kepada industri minyak dan gas di negara ini di samping merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan terutama di Pekan.
Sementara itu, Jebasingam berkata, pangkalan itu dijangka dapat mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan.
”Ia juga bakal mewujudkan peluang keusahawanan yang dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk sekitar,” jelasnya.