PAHANG akan mewujudkan dusun buah-buahan kedua terbesar di negara ini
selepas Selangor, apabila Taman Pengeluaran Makanan Tetap Lanchang (PFPP)
yang dirancang menerusi pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER)
dijangka menghasilkan 1,501 tan buah-buahan setahun.
Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Kamariah Ismail, berkata projek
Lanchang itu akan memberikan kerajaan negeri pendapatan tahunan RM1.55 bilion
sebaik ia beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua dekad.
PFPP adalah salah satu projek berimpak tinggi ECER untuk menubuh dan
membangunkan industri makanan berasaskan buah-buahan di negara ini, yang
bertujuan mempromosikan projek pertanian komersial berskala besar membabitkan
pekebun kecil serta sektor swasta.
“Skim Lancang itu membabitkan Malaysian Agrifood Corporation Bhd (MAFC)
sebagai syarikat peneraju dan akan membabitkan pekebun kecil menerusi skim
pertanian kontrak,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan sekretariat ECER,
semalam.
Kini tujuh pekebun kecil di PFPP Lanchang mempunyai kawasan 58.72 hektar,
katanya, sambil menyatakan 22 hektar daripada kawasan itu ditanam dengan betik
oleh MAFC, 12.57 hektar pisang dan 23.7 hektar nangka oleh pekebun kecil.
Kamariah berkata, dua syarikat lagi, Felda Herba Corporation dan Gold Star Sdn
Bhd, juga dijangka mengambil bahagian sebagai syarikat peneraju dalam projek
berkenaan.
Menerusi PFPP Lanchang itu, Jabatan Pertanian diperuntukkan 3,600 hektar tanah
bagi pembangunan kebun buah-buahan komersial iaitu 3,200 hektar daripadanya
diperuntukkan bagi sektor swasta, manakala baki 400 hektar bagi program PFPP.
Beliau berkata, pelan induk ECER itu mencadangkan 2,000 hektar diperuntukkan
bagi penanaman betik, 1,000 hektar bagi buah naga dan baki 600 hektar bagi jambu
batu dan belimbing.
Katanya, menerusi program PFPP itu, kerajaan negeri akan memajak tanah itu
kepada setiap pekebun kecil atau syarikat swasta pada kadar RM100 setahun bagi
setiap 0.4 hektar tanah bagi tempoh 30 tahun.
PFPP Lanchang itu dijangka menarik penyertaan 43 orang pekebun kecil dan setiap
seorang akan diberi lapan hektar tanah, yang akan memberikan pendapatan
sehingga RM3,000 sebulan. Kamariah menambah, projek TKPM fasa pertama yang meliputi 80 hektar dan
disiapkan dengan pembangunan kemudahan asas seperti jalan, sistem pengairan
dan pam air serta perparitan.