Pendapatan projek Lanchang RM1.55b setahun

PAHANG akan mewujudkan dusun buah-buahan kedua terbesar di negara ini
selepas Selangor, apabila Taman Pengeluaran Makanan Tetap Lanchang (PFPP)
yang dirancang di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dijangka
menghasilkan 1,501 tan buah-buahan setahun.
Projek Lanchang itu akan memberikan kerajaan negeri pendapatan tahunan RM1.55
bilion sebaik ia beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua dekad.
Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Kamariah Ismail, berkata PFPP
adalah salah satu projek berimpak tinggi ECER bagi menubuhkan dan
membangunkan industri makanan berasaskan buah-buahan di negara ini.
Menurutnya, ia juga bertujuan mempromosikan projek pertanian komersil berskala
besar membabitkan pekebun kecil serta sektor swasta.