1/15/2011 — Sinar Harian Pahang
Bentong – Murid-murid dari Sekolah Jenis Kebangsaan Ciha (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) disaran menguasai bahasa pengantar iaitu Bahasa Melayu supaya tidak tercicir dalam pelajaran.
Pegawai Pelajaran Daerah Bentong, Liew Kim Choon berkata, antara punca yang menghalang pencapaian cemerlang murid-murid di dua sekolah terbabit ialah gagal menguasai bahasa kebangsaan dengan baik.
Menurutnya ia berbeza dengan murid di sekolah kebangsaan yang mempunyai kelulusan 75 peratus ke atas, dalam semua mata pelajaran diambil semasa Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Saya menasihatkan murid di kedua-dua sekolah ini meningkatkan usaha menguasai Bahasa Melayu dengan baik kerana ia akan memudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan dan berinteraksi tanpa sebarang masalah.
“Jika mereka tidak mengambil pendekatan sedemikian sudah pasti akan timbul masalah apabila melangkah ke alam sekolah menengah kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian Seminar Alam Persekolahan Menengah Satu Cabaran Baru dan Anugerah Cemerlang Empower di SJKC Karak, dekat sini.
Majlis dianjurkan Pertubuhan Kemajuan Sosial Malaysia (PKSM) dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri dan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER).
Kim Choon berkata, peringkat sekolah menengah guru-gurunya tidak menggunakan bahasa Tamil atau Cina untuk berinteraksi dengan pelajar berbanding di SJKC dan SJKT.
Katanya, sekiranya murid-murid tidak mengambil peluang mempelajari dan menguasai bahasa kebangsaan, sudah pasti memberi kesan kepada proses pembelajaran dan menjejaskan keputusan peperiksaan yang bakal diambil di sekolah menengah.
“Oleh itu saya menyarankan murid-murid di SJKT dan SJKC berusaha lebih gigih menguasai bahasa kebangsaan supaya dapat memudahkan mereka kelak.
“Tambahan pula sebagai warganegara, kita sememangnya wajib menguasai bahasa kebangsaan dengan baik bukan sahaja dalam penulisan tetapi juga interaksi seharian,” katanya.