1/17/2011 — Sinar Harian Pahang
Kampung Belimbing – Rancangan untuk melaksanakan projek ikan sangkar dengan bantuan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dijangka dapat mengatasi masalah miskin tegar di kawasan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairudin Mahmud berkata, kampung ini mempunyai lokasi strategik dengan air yang dalam dan bersih.
Menurutnya, perbincangan awal dijangka dapat membantu menjana pendapatan kumpulan miskin tegar jika ia mampu direalisasikan.
“Projek penempatan khusus untuk golongan miskin itu adalah antara langkah untuk mereka berdikari seterusnya keluar daripada belenggu kemiskinan.
“Saya berharap masyarakat bijak memanfaatkan peluang tersedia dan peka dengan setiap perancangan demi kebaikan masing-masing,” katanya.
Khairuddin berkata, sebagai permulaan, ECER boleh menyediakan sebanyak 100 sangkar ikan air tawar dan membina penempatan untuk 20 peserta.
“Kesudian ECER mengkaji dan mencari pemaju untuk menjayakan program itu amat dihargai sebagai nadi pembangunan masyarakat di sini. Harapan supaya perancangan ini dapat direalisasikan dalam tempoh singkat,” katanya.