KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan
melancarkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) sempena
lawatan sehari ke Terengganu, Sabtu ini.
Sekretariat Ecer dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, anggota majlis
pembangunan itu terdiri daripada Perdana Menteri sebagai pengerusi, serta
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan menteri besar Kelantan,
Terengganu, Pahang dan Johor.
Pada pelancaran majlis di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, sebuah pusat
sehenti akan ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan projek pembangunan yang
dikenal pasti dalam pelan induk Ecer berjalan lancar.
Selain itu, Perdana Menteri akan turut melantik dua menteri sebagai wakil
perkhidmatan awam serta dua anggota daripada sektor swasta sebagai anggota
majlis pembangunan berkenaan.
Menurut kenyataan itu juga, beberapa insentif menarik akan diperkenalkan bagi
meningkatkan pembabitan pelabur tempatan dan asing dalam projek pembangunan
berkenaan sempena pelancaran majlis pembangunan itu. – Bernama